Amerika Syarikat dan China telah memuktamadkan satu persefahaman perdagangan yang dicapai bulan lalu di Geneva, menurut Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick. Beliau turut menyatakan bahawa ‘White House’ mempunyai rancangan segera untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan sepuluh rakan dagang utama yang lain.
Perjanjian dengan China, yang menurut Lutnick telah ditandatangani dua hari lalu, mengesahkan syarat-syarat yang dibincangkan dalam rundingan perdagangan antara Beijing dan Washington. Ia termasuk komitmen China untuk membekalkan unsur nadir bumi yang digunakan dalam pelbagai sektor.
“Mereka akan bekalkan unsur nadir bumi kepada kami,” kata Lutnick kepada Bloomberg News, dan apabila ia dilakukan, “kami akan menarik balik tindak balas kami.”
Seorang pegawai ‘White House’ mengesahkan bahawa kedua-dua negara bersetuju melaksanakan syarat-syarat dalam perjanjian Geneva. Kedutaan China di Washington enggan mengulas, manakala Kementerian Luar China di Beijing juga belum memberi maklum balas terhadap permintaan komen pada Jumaat.
Nilai yuan luar pesisir tidak banyak berubah susulan berita tersebut, manakala niaga hadapan ekuiti China belum dibuka. Niaga hadapan Indeks S&P 500 pula kekal stabil.
Perjanjian dengan China menetapkan syarat yang telah dirundingkan sepanjang tahun ini. Ianya merupakan satu pencapaian penting memandangkan kedua-dua pihak sebelum ini saling menuduh melanggar perjanjian terdahulu. Namun, pelaksanaannya masih bergantung kepada tindakan lanjut, terutamanya penghantaran unsur nadir bumi oleh China.

Lutnick berkata kepada Bloomberg Television bahawa Presiden Donald Trump turut bersedia memuktamadkan beberapa perjanjian perdagangan dalam masa dua minggu menjelang tarikh akhir 9 Julai untuk mengaktifkan semula tarif tinggi yang digantung sejak April.
“Kami akan buat 10 perjanjian teratas, susun mengikut kategori yang sesuai, dan negara lain akan ikut selepas itu,” katanya.
Lutnick tidak menjelaskan negara mana yang terlibat dalam gelombang pertama perjanjian itu, tetapi Trump pada Khamis memberi bayangan bahawa rundingan dengan India hampir selesai.
Trump juga menyatakan bahawa beliau akan mengeluarkan “surat” kepada negara-negara terbabit untuk menetapkan terma perdagangan sekiranya tiada perjanjian dicapai dalam masa ditetapkan. Negara-negara akan dikategorikan secara rasmi pada 9 Julai, tambah Lutnick, dan tarikh akhir itu juga boleh dilanjutkan untuk memberi ruang kepada rundingan tambahan.
Selepas rundingan awal di Geneva berjaya mengurangkan tarif antara kedua-dua negara, AS dan China saling menuduh telah melanggar perjanjian itu. Selepas rundingan susulan di London bulan ini, kedua-dua pihak mencapai persefahaman, tertakluk kepada kelulusan Trump dan Presiden China, Xi Jinping.
Lutnick menyatakan bahawa di bawah perjanjian yang ditandatangani dua hari lalu, langkah balas AS sebelum rundingan London akan ditarik balik. Tetapi hanya selepas penghantaran unsur nadir bumi bermula dari China. Langkah balas AS termasuk sekatan eksport terhadap bahan seperti etana, perisian cip, dan enjin jet.