Dunia media digital percuma yang dahulunya menjanjikan pulangan yang memberangsangkan kini berdepan krisis apabila hasil pengiklanan semakin merosot sementara pelabur semakin menjauh.
Syarikat media internet BuzzFeed mengumumkan pada akhir April lalu bahawa ia akan menutup unit beritanya, melibatkan pemberhentian sekitar 180 kakitangan.
Vice, yang pernah menarik pembiayaan utama daripada Disney dan Fox pula telah membatalkan rancangan utamanya Vice News Tonight, memberhentikan 100 pekerja serta dilaporkan hampir mengisytiharkan muflis.
Kedua-dua kumpulan media mempunyai profil dan matlamat yang berbeza, tetapi satu persamaan yang mereka miliki ialah pergantungan pada hasil pengiklanan bagi membiayai operasi perniagaan.
Bagaimanapun, dalam suasana ekonomi yang sukar, hasil pengiklanan menjadi pilihan utama gergasi-gergasi teknologi dengan Google dan Facebook kini telah mengambil 70% daripada semua hasil iklan digital.
“Saya melihat model percuma — cuba membina volum tinggi, dan kemudian menjual iklan atas dasar itu — tidak berjaya hampir seperti yang diharapkan,” kata Rick Edmonds, penganalisis perniagaan media di Institut Poynter, sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan penyelidikan kewartawanan.
Pada permulaan tahun 2010-an, Vice dan BuzzFeed — bersama Daily Beast dan Huffington Post — merupakan pemegang standard saluran media generasi baharu yang berada dalam talian sepenuhnya dan bersedia untuk memerangi penyampai berita tradisional.
“Perniagaan ini berkembang jauh di luar kapasiti mereka, kerana mereka menarik sejumlah besar modal usahasama,” kata Dan Kennedy, seorang profesor kewartawanan di Northeastern University di Boston.
Pada 2017, Vice Media bernilai AS$5.7 bilion (RM25.3 bilion) — lebih daripada permodalan pasaran The New York Times pada masa itu.
Namun, tanpa pulangan yang diharapkan serta kemajuan yang perlahan, para pelabur mula mengundur diri dan beralih kepada kumpulan media yang lain.