oil-dawn

Krisis Ukraine-Rusia Cetus Kebimbangan Ke Atas Isu Gangguan Bekalan, Harga Minyak Terus Meningkat

Harga minyak pada Isnin mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berikutan kebimbangan pencerobohan ke atas Ukraine oleh Rusia berpotensi mencetuskan sekatan dari AS dan Eropah.

Situasi itu sekali gus akan mengganggu aliran eksport daripada pengeluar utama dunia dalam keadaan bekalan pasaran yang semakin mengecil.

Setakat jam 3.35 petang, niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada $95.61 setong, meningkat $1.17 atau 1.2%, menghampiri paras tertinggi sejak Oktober 2014.

Minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) pula naik $1.41 atau 1.5% , kepada $94.51 setong, berlegar berhampiran paras tertinggi sejak September 2014.

Ulasan dari Amerika Syarikat mengenai serangan yang akan berlaku oleh Rusia ke atas Ukraine telah menggegarkan pasaran kewangan global.

Rusia mampu menyerang Ukraine pada bila-bila masa dan mungkin mencipta alasan luar jangkaan untuk menyerang, kata AS pada Ahad.

Harga minyak mentah Brent juga berpotensi mencecah AS$110 hingga AS$120 setong jika Russia memutuskan untuk menyerang Ukraine, demikian pandangan RHB Research.

Dalam nota penyelidikannya, ia berkata, harga komoditi itu boleh kekal tinggi untuk tempoh yang panjang bergantung kepada magnitud kejadian dan akan kekal meningkat sehingga penyelesaian diumumkan.

Ketegangan antara dua negara ini muncul ditengah-tengah kelesuan gabungan pengkesport petroleum utama, OPEC+ untuk meningkatkan pengeluaran mereka walaupun berjanji untuk menambah 400,000 output tong sehari hingga Mac.

Agensi Tenaga Antarabangsa berkata jurang antara pengeluaran OPEC+ dan sasarannya melebar kepada 900,000 bpd pada Januari, manakala JP Morgan berkata jurang untuk OPEC sahaja adalah pada 1.2 juta bpd.

Kami melihat tanda-tanda ketegangan di seluruh organisasi dengan tujuh daripada 10 anggota OPEC gagal memenuhi peningkatan kuota pada bulan itu, dengan kekurangan terbesar yang ditunjukkan oleh Iraq,” kata penganalisis JP Morgan dalam notanya pada Jumaat lalu.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *