Pemimpin berhaluan kiriKorea Selatan, Lee Jae-myung, menyifatkan kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden tergempar sebagai satu “keputusan hebat” oleh rakyat. Ini sekali gus menamatkan tempoh berbulan-bulan ketidaktentuan politik.
Enam bulan selepas bekas presiden Yoon Suk-yeol mencetuskan krisis nasional dengan pengisytiharan darurat tentera yang kontroversial, keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan mengesahkan bahawa Lee telah menewaskan pencabarnya dari parti konservatif, Kim Moon-soo, yang telah mengaku kalah lebih awal.
Peratusan keluar mengundi mencatat paras tertinggi dalam hampir 30 tahun, iaitu sebanyak 79.4%.
“Saya menerima keputusan rakyat dengan rendah hati. Tahniah kepada Lee Jae-myung atas kemenangan ini,” kata Kim, walaupun ketika itu undian masih dikira.
Lee pula merakamkan penghargaan kepada rakyat atas kepercayaan mereka dan berikrar untuk memikul tanggungjawab dengan sebaik mungkin agar tidak mengecewakan harapan rakyat.
Mengambil kira perpecahan politik yang semakin mendalam sejak cubaan darurat tentera oleh Yoon, Lee menekankan bahawa mereka yang tidak menyokongnya tetap “rakyat senegara” dan beliau berjanji untuk “melangkah ke hadapan dengan harapan dari saat ini.”
Lee turut berikrar untuk menggalakkan “dialog, komunikasi dan kerjasama” dengan Korea Utara, yang hubungan diplomatiknya merosot teruk di bawah pendekatan keras Yoon.

Titik Peralihan Politik
Krisis akibat tindakan Yoon mengisytiharkan darurat, termasuk penglibatan tentera di Parlimen, menjadi faktor utama dalam pilihan raya ini, menurut penganalisis politik.
Profesor Kang Joo-hyun dari Universiti Wanita Sookmyung berkata undi kali ini “dilihat sebagai referendum terhadap pentadbiran sebelum ini.”
Yoon, yang dipecat dari jawatan selepas percubaan daruratnya, menjadi presiden konservatif kedua berturut-turut yang digulingkan, selepas Park Geun-hye pada 2017.
“Ini menunjukkan rakyat Korea menolak langkah autoritarian seperti darurat tentera,” kata Gi-Wook Shin, profesor sosiologi di Universiti Stanford.
“Detik ini mungkin dikenang sebagai titik perubahan penting dalam sejarah politik Korea Selatan.”
Pihak polis telah meningkatkan tahap amaran keselamatan dan menempatkan ribuan anggota bagi memastikan proses pilihan raya dan majlis angkat sumpah Lee berjalan lancar.
Lee, yang terselamat daripada cubaan bunuh tahun lalu, menjalankan kempen dalam jaket kalis peluru dan berucap dari sebalik pelindung kaca.