Malaysia U-turn dalam Projek AI Berskala Besar Bersama Huawei

Rio Boestamam
3 Min Read

Malaysia telah mengumumkan rancangan untuk membangunkan sistem kecerdasan buatan (AI) berskala besar yang pertama seumpamanya menggunakan cip keluaran Huawei Technologies. Namun, sehari kemudian, negara kita telah menarik balik kenyataan tersebut.

Ini sedikit sebanyak mencerminkan kedudukan Malaysia yang sensitif dalam persaingan AI antara Amerika Syarikat dan China. Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dalam ucapan pada Isnin lalu menyatakan bahawa Malaysia akan menjadi negara pertama yang menggunakan pelayan AI berasaskan cip GPU Huawei Ascend pada skala nasional.

Menurut kenyataan yang disemak oleh Bloomberg News, Teo menyebut bahawa Malaysia akan menggunakan 3,000 unit pelayan (server) AI utama Huawei menjelang 2026. Syarikat pemula teknologi dari China, DeepSeek, turut akan menyediakan salah satu model AI mereka kepada Malaysia.

Pengumuman ini menarik perhatian ‘White House’, yang sedang berusaha menghalang China daripada menguasai pasaran AI global. David Sacks, penasihat AI dan kripto Presiden Donald Trump, menulis di X bahawa langkah itu menunjukkan “tumpuan penuh teknologi China kini tiba”.

Namun, pada hari berikutnya, Teo menarik balik kenyataan mengenai Huawei tanpa memberikan sebarang penjelasan lanjut dalam satu kenyataan rasmi. Ketidakjelasan ini menimbulkan persoalan sama ada projek tersebut akan diteruskan seperti yang dirancang.

Wakil Huawei pula menyatakan bahawa syarikat itu belum menjual cip Ascend di Malaysia dan kerajaan Malaysia juga belum membuat sebarang pembelian.

Penarikan balik yang mendadak ini berlaku selepas Jabatan Perdagangan AS telah mengeluarkan garis panduan yang memberi amaran kepada syarikat antarabangsa agar tidak menggunakan cip Ascend Huawei. Ini kerana ianya dianggap melanggar kawalan eksport AS “di mana-mana sahaja di dunia”.

Malaysia menjadi contoh penting dalam strategi diplomasi AI baharu pentadbiran Trump, yang ingin menyebarkan perkakasan AI buatan Amerika ke seluruh dunia dengan kawalan keselamatan ketat, bagi mengekang pengaruh teknologi China terutamanya di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

David Sacks menyatakan bahawa Amerika Syarikat perlu segera mengukuhkan kedudukan dalam pasaran ini, memandangkan Huawei kini semakin hampir menyaingi peneraju industri, Nvidia.

Pada masa sama, pentadbiran Trump juga menyasarkan aktiviti penghantaran haram cip Nvidia ke China melalui negara ketiga, termasuk Malaysia yang dikenal pasti sebagai salah satu titik panas.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *