Lonjakan 1.53% Bursa Malaysia pada Selasa lalu telah membawa indeks komposit FBM KLCI tutup dengan catatan tertinggi dalam tempoh 44 bulan sekitar 1,648.70 mata.
Pembelian bersih ekuiti Malaysia sebanyak RM299.6 juta itu berlaku seminggu selepas pasaran menyaksikan penurunan mendadak dengan rekod jualan bersih sebanyak RM768.4 juta.
Sentimen pasaran pada minggu ini dilihat telah berubah secara positif dengan sebahagian besarnya disokong oleh keyakinan pelabur terhadap data ekonomi Malaysia yang memberangsangkan.
Indeks KDNK suku kedua yang melebihi jangkaan pada 5.9% serta peningkatan perdagangan yang kukuh pada bulan Julai telah menguatkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing dan tempatan.
Menjelang penutupan pasaran, Bursa Malaysia masih mengekalkan kestabilan, dengan indeks FBM KLCI berada sekitar pada 1,644.85 pada hari ini, hanya sedikit susut dari paras tertinggi yang tidak pernah dicapai sejak Disember 2020.
Menurut Nor Azmi Abdullah, Penganalisis Pasaran dari Maybank Investment Bank, lonjakan pasaran saham Malaysia pada minggu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi yang kukuh serta kestabilan pasaran walaupun terdapat sedikit penurunan
Pandangan ini turut disokong oleh penganalisis dari CIMB Securities yang menyatakan, “Walaupun terdapat pengeluaran bersih oleh pelabur asing minggu lalu, jumlah tersebut berkurangan dengan ketara pada minggu ini, dengan pelabur kembali menunjukkan minat terhadap pasaran ekuiti Malaysia. Sektor kewangan, khususnya, telah mendapat manfaat daripada keadaan ekonomi yang semakin baik.”
Sektor kewangan terus menjadi penerima manfaat utama daripada persekitaran ekonomi yang positif. Kestabilan ini juga menunjukkan bahawa pasaran tempatan masih berada pada landasan yang kukuh dengan sokongan dari faktor asas ekonomi yang memberangsangkan.
Add a Comment