world-bank-walk

Bank Dunia Berharap Dapat Mencari Pengganti Presiden Seawal Mei

Bank Dunia berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka berharap untuk mencari pengganti presiden pada awal Mei selepas David Malpass mengumumkan akan meletakkan jawatan hampir setahun lebih awal.

Pemberi pinjaman pembangunan antarabangsa yang berpangkalan di Washington itu akan menerima senarai pencalonan termasuk wanita bermula 23 Februari, satu proses yang akan berlangsung sehingga 29 Mac.

Senarai pendek tiga calon kemudiannya akan dikeluarkan, diikuti dengan “temuduga rasmiā€¦ dengan jangkaan pemilihan presiden baharu pada awal Mei 2023.”

Dengan persetujuan tidak rasmi walaupun tidak disebut dalam kenyataan itu, presiden Bank Dunia kebiasaannya adalah warga Amerika Syarikat, manakala ketua Tabung Kewangan Antarabangsa lazimnya adalah orang Eropah.

Malpass yang berusia 66 tahun, dilantik pada 2019 ketika Donald Trump menjadi presiden selepas sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Rendah Perbendaharaan bagi hal ehwal antarabangsa.

Seminggu yang lalu, Malpass membuat pengumuman mengejut bahawa beliau akan melepaskan jawatannya hampir setahun sebelum penggalnya tamat pada 2024.

Tempoh beliau di Bank Dunia menyaksikan organisasi itu bergelut dengan krisis global seperti pandemik Covid-19, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan kelembapan ekonomi antarabangsa.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Malpass telah menghadapi gesaan untuk meletakkan jawatan atau penyingkirannya, dengan aktivis alam sekitar menuduhnya menafikan perubahan iklim.

Dis sebuah forum yang berlangsung pada September 2022, Malpass enggan menyatakan sama ada beliau percaya bahan api fosil memacu perubahan iklim, sekali gus mengundang kecaman daripada White House.

Malpass kemudian memberitahu CNN bahawa dia bukan penafi perubahan iklim dan pelepasan yang dihasilkan manusia “jelas” menyumbang kepada pemanasan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *