mavcom

Mavcom Jangka Pemulihan Trafik Penumpang Lebih Kukuh Pada 2024

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan pemulihan yang lebih kukuh dalam sektor penerbangan negara tahun depan, dengan trafik penumpang menghampiri 98% daripada tahap pra-Covid-19 2019.

Dalam satu kenyataan, pengerusi eksekutif Mavcom Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata jumlah penumpang pada 2024 dijangka berkisar antara 93.9 juta hingga 107.1 juta penumpang, didorong oleh peningkatan perjalanan domestik dan antarabangsa, khususnya ke China dan Asean.

Namun begitu, Saripuddin berkata terdapat potensi cabaran untuk dipertimbangkan seperti peningkatan kos bahan api jet, penyusutan nilai ringgit, kemungkinan kelewatan dalam penghantaran pesawat, dan isu tenaga kerja, yang menambah elemen berhati-hati kepada unjuran Mavcom.

“Walaupun kebangkitan semula kes COVID-19 baru-baru ini telah diperhatikan pada Disember 2023, Mavcom percaya kesannya terhadap industri penerbangan tidak akan seserius sebelum ini.

“Setakat ini, pemulihan ke tahap pra-Covid-19 dijangka kekal pada trajektori yang diramalkan,” tambahnya.

Saripuddin mengeluarkan kenyataan itu sempena keluaran edisi ke-14 laporan industri Mavcom, Waypoint, yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dalam trafik penumpang selepas pandemik Covid-19.

Menurut laporan itu, trafik penumpang mencapai 69.9 juta dalam tempoh 10 bulan pertama 2023, yang menyebabkan Mavcom menyemak semula unjuran 2023nya lebih tinggi kepada antara 84.5 juta dan 86.5 juta penumpang.

Jumlah kargo udara Malaysia pula menyaksikan penurunan sebanyak 15.3% tahun ke tahun kepada 4.7 bilion tan muatan kilometer (FTK) pada suku ketiga 2023.

Mavcom menurunkan unjuran kargo udara 2023 kepada penurunan antara 14.1% dan 13.5%, mewakili 18.7 bilion kepada 18.8 bilion FTK.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu menjangkakan anjakan positif pada 2024 kepada pertumbuhan 6% hingga 6.6%, berpotensi mencecah 19.8 bilion hingga 20 bilion FTK.

“Kenaikan yang dijangkakan ini disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada 2023, kemungkinan peningkatan dalam kitaran teknologi global, pemulihan berterusan di China dan penstabilan ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Mavcom juga melaporkan bahawa 173 hak trafik udara (ATR) tambahan telah diberikan dalam sembilan bulan pertama 2023, di mana 44 adalah untuk laluan domestik dan 129 untuk destinasi antarabangsa.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *