Pemandu Red Bull, Max Verstappen, kekal berahsia mengenai masa depannya dalam Formula 1 menjelang Grand Prix Britain hujung minggu ini, ketika beliau terus diasak soalan tentang kemungkinan menyertai pasukan Mercedes pada tahun 2026.
Juara Dunia empat kali itu dikaitkan dengan perpindahan ke Mercedes selepas George Russell mendedahkan di Austria bahawa pasukan tersebut sedang mengadakan “perbincangan” dengan Verstappen ketika kontraknya sendiri masih belum diperbaharui (kontrak Russell akan tamat hujung musim ini).
Namun, ketika ditanya media di Silverstone, Russell tetap yakin beliau akan terus bersama Mercedes musim depan, walaupun tiada pengesahan rasmi bahawa kontrak baharu telah ditandatangani. Spekulasi semakin hangat mengenai potensi perpindahan Verstappen, tetapi pemandu dari Belanda itu enggan mengulas lanjut ketika sesi media menjelang GP Britain.
“Saya tiada apa-apa untuk ditambah,” katanya. “Apa yang saya katakan minggu lepas, itu sudah memadai. Orang lain menulis macam-macam, itu bagus, tapi bukan untuk saya.”

Beliau menambah: “Orang selalu kata yang keadaan pasukan Mercedes adalah lebih baik pada ketika ini. Tapi saya rasa kita perlu bertenang dan hargai apa yang kita ada. Setakat ini saya telah kecapi banyak kejayaan. Musim ini mungkin tidak seperti yang kami harapkan sebagai satu pasukan, tapi itu juga boleh berlaku.”
“Saya hanya terima keadaan seadanya. Orang lain boleh mereka cerita, tapi itu bukan urusan saya. Saya tahu apa yang saya ada, saya tahu apa yang saya mampu buat, dan itu sudah cukup.”
Verstappen kekal bersama keluarga Red Bull sejak debut F1-nya pada 2015 bersama pasukan junior, Toro Rosso, sebelum diserap ke pasukan utama musim berikutnya. Selepas mencipta kejayaan dengan kemenangan dalam perlumbaan pertamanya bersama Red Bull di Grand Prix Sepanyol, Verstappen menjuarai gelaran Dunia empat tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2024.
Walaupun telah meraih dua kemenangan musim ini, insiden pelanggaran oleh Kimi Antonelli di Austria menyebabkan beliau gagal menamatkan perlumbaan dan kini ketinggalan 61 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri, menjelang separuh musim.
Dengan peraturan baharu F1 yang bakal diperkenalkan pada 2026, perubahan susunan kekuatan pasukan dijangka berlaku, namun Verstappen memberi amaran bahawa berpindah pasukan bukan jaminan untuk berada dalam kereta paling pantas.