“Segala muzik yang pernah saya hasilkan… kini menjadi milik saya,” tulis Swift di laman web rasminya pada Jumaat lepas. Ini adalah selepas bertahun-tahun berselisih mengenai enam album pertamanya. Di mana sebahagian daripadanya telah dirakam semula sebagai versi yang dimiliki sepenuhnya oleh dirinya.
“Menyatakan bahawa ini adalah impian saya yang paling besar menjadi kenyataan sebenarnya masih belum menggambarkan betapa bermaknanya pencapaian ini,” tulis Swift dalam surat kepada para peminat setianya.
“Kepada para peminat, anda semua tahu betapa pentingnya perkara ini kepada saya. Hinggakan saya bersungguh-sungguh merakam semula dan melancarkan semula empat album saya, yang dinamakan semula sebagai Taylor’s Version.”
Album-album yang dirakam semula termasuklah Reputation dan Taylor Swift, yang pernah memenangi pelbagai anugerah.
Swift membeli semula hak rakaman asal (master) daripada Shamrock Capital, sebuah firma pelaburan berpangkalan di Los Angeles, pada jumlah yang tidak didedahkan.
Langkah strategik untuk merakam semula lagu-lagu tersebut berlaku selepas konflik terbuka dengan tokoh industri, Scooter Braun yang merupakan bekas pengurusnya yang telah membeli label asal Swift dan seterusnya menguasai sebahagian besar karya awalnya.
Braun kemudiannya menjual hak master Swift kepada syarikat ekuiti swasta.

Swift sebelum ini meluahkan rasa kecewa secara terbuka: “Saya percaya para artis seharusnya memiliki hasil kerja mereka sendiri,” katanya pada tahun 2019.
Profesor di Berklee College of Music, Ralph Jaccodine, menyifatkan Swift sebagai “penyokong lantang hak-hak artis” dan memuji kejayaannya membina jenamanya sendiri.
Sebelum usaha terbuka Swift, artis lain seperti Prince, George Michael, Jay-Z dan Kanye West juga pernah memperjuangkan hak terhadap rakaman asal mereka. Tetapi tiada siapa yang pernah bertindak sejauh merakam semula keseluruhan katalog seperti Swift.
Swift, yang kini digelar ratu pop, menyatakan bahawa beliau berasa terinspirasi melihat bagaimana kisah ini telah mencetuskan semula perbincangan penting dalam industri muzik.
Jelajah konsert globalnya, Eras Tour, yang berlangsung hampir dua tahun dan menjana lebih AS$2 bilion, bukan sahaja mencipta sejarah dalam industri hiburan, malah membantu menampung kos pembelian semula katalog muziknya.
Konsert tersebut melibatkan 149 persembahan di seluruh dunia, masing-masing berlangsung lebih tiga jam, dengan tiket dijual pada harga tinggi dan menarik jutaan peminat. Ini termasuk mereka yang hanya menyanyi dari kawasan letak kereta kerana tidak dapat masuk ke dalam venue.
“Setiap kali saya dengar tentang artis baharu yang berjaya berunding untuk memiliki hak rakaman asal mereka sendiri hasil daripada perjuangan ini, saya tersedar betapa pentingnya semua ini berlaku,” kata Swift dalam suratnya.