Lebih daripada 10 mayat, termasuk seorang bayi, telah ditemui sepanjang pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Sungai Klang yang sedang berjalan di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG), sekali gus membongkar realiti suram di sebalik usaha pemulihan sungai tersebut.
Menurut laporan Sinar Harian, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin, memaklumkan bahawa penemuan mayat bukanlah kejadian terpencil, malah berlaku hampir setiap bulan sejak kerja-kerja pengorekan dan pelebaran sungai dimulakan pada 1 November 2022.
“Setakat ini, kami telah menyerahkan lebih daripada 10 mayat kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut,” katanya seperti yang dipetik.

Selain penemuan mengerikan itu, pasukan projek turut berdepan pencemaran serius apabila menemui pelbagai sisa buangan berat dari dasar sungai seperti peti sejuk, tayar lori, rangka katil, tilam, sofa malah motosikal.
“Saya sendiri tak faham bagaimana peti sejuk boleh berada dalam sungai,” katanya sambil menggambarkan tahap pencemaran ketika ini sebagai teruk dan mencabar usaha pengorekan.
Projek tebatan ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh SMG untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sehingga 40 peratus, di samping memulihkan ekosistem dan memperbaiki kualiti air kepada sekurang-kurangnya Kelas III mengikut Indeks Kualiti Air (WQI).