Gabenor bank pusat Jepun (BOJ) yang baharu, Kazuo Ueda memberi mesej jelas kepada penggubal dasar dalam mesyuarat kewangan global minggu lalu bahawa bank pusat akan kekal dovish dengan kadar faedah terendah buat masa ini.
Sejak memegang tampuk pimpinan seminggu yang lalu, Ueda telah memberikan beberapa petunjuk bahawa rangsangan besar-besaran pendahulunya Haruhiko Kuroda yang dovish lambat-laun akan dihapuskan.
Bagaimanapun, perbincangan mengenai tempoh dan cara untuk beralih daripada dasar yang sangat longgar itu akan mengambil masa.
Senario ini menjadi sebab Ueda dapat meyakinkan dunia bahawa sebarang perubahan tidak akan berlaku dengan cepat.
“Di banyak negara, inflasi sangat tinggi atau tidak cukup perlahan. Yang penting keadaannya agak berbeza di Jepun, yang saya jelaskan pada mesyuarat itu,” kata Ueda selepas menghadiri mesyuarat pemimpin kewangan G7 yang diadakan bersama-sama mesyuarat musim bunga IMF dan Bank Dunia.
Inflasi Jepun, kini berada sekitar 3 peratus, akan kembali perlahan di bawah sasaran 2 peratus BOJ pada akhir tahun ini berikutan kejatuhan kos import, jelas Ueda.
Kenyataan dovish itu berkemungkinan menunjukkan hasrat BOJ untuk mengelak senario pada Januari, apabila pasaran menjangkakan pivot yang lebih pantas oleh BOJ untuk mengubah suai dasar kawalan keluk hasil (YCC) dengan menaikkan kadar faedah jangka panjang.