Ribuan penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri di Thailand

Rio Boestamam
3 Min Read

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Thailand, Bangkok, pada hari Sabtu bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra. Ini adalah susulan kemarahan yang semakin memuncak terhadap kerajaan beliau berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja.

Perhimpunan itu, yang merupakan protes anti-kerajaan terbesar sejak parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn mengambil alih kuasa pada 2023, telah meningkatkan tekanan terhadap beliau yang kini berdepan cabaran untuk memulihkan ekonomi yang lembap serta mengekalkan kestabilan gabungan pemerintah yang rapuh menjelang kemungkinan undi tidak percaya bulan depan.

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera berhampiran Tugu Peringatan Kemenangan, sebuah monumen perang dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh gabungan aktivis nasionalis yang dikenali sebagai United Force of the Land. Ianya merupakan kumpulan yang turut terlibat dalam protes terhadap kerajaan-kerajaan terdahulu yang disokong keluarga Shinawatra sejak dua dekad lalu.

Walaupun protes-protes terdahulu tidak secara langsung menggulingkan kerajaan, ia telah mewujudkan tekanan yang akhirnya membawa kepada campur tangan kehakiman dan rampasan kuasa tentera pada 2006 dan 2014.

Krisis politik yang berlarutan ini dijangka terus menjejaskan pemulihan ekonomi Thailand yang kini sudah pun bergelut.

Penunjuk perasaan berhimpun di Tugu Peringatan Kemenangan bagi menuntut Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, meletak jawatan di Bangkok, Thailand, pada Sabtu, 28 Jun 2025.

Paetongtarn berkata pada hari Sabtu bahawa beliau tidak bimbang dengan protes tersebut dan telah mengarahkan pihak berkuasa supaya memastikan perhimpunan itu berjalan secara aman.

“Itu adalah hak rakyat dan saya tidak akan bertindak balas,” katanya.

Perdana Menteri itu kini mengetuai kerajaan majoriti tipis selepas parti Bhumjaithai menarik diri daripada gabungan minggu lalu, dan beliau mungkin berdepan undi tidak percaya apabila parlimen bersidang semula minggu depan.

Parti Bhumjaithai menarik balik sokongannya dengan alasan wujud risiko terhadap kedaulatan dan maruah negara susulan kebocoran rakaman perbualan telefon antara Paetongtarn dan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Dalam perbualan itu, Paetongtarn dilihat cuba menyenangkan hati pemimpin veteran Kemboja itu dan turut mengkritik seorang komander tentera Thailand. Di mana ianya dianggap sebagai satu tindakan yang melangkaui batas dalam sebuah negara di mana tentera mempunyai pengaruh besar.

Beliau telah memohon maaf atas kenyataan tersebut.

Paetongtarn kini turut berdepan siasatan kehakiman selepas sekumpulan senator memfailkan petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan dan sebuah badan pencegah rasuah nasional yang memiliki kuasa siasatan luas terhadap tindakan beliau dalam isu panggilan telefon yang bocor itu.

Keputusan daripada mana-mana badan tersebut boleh membawa kepada pemecatannya.

Hun Sen, yang dahulunya sekutu keluarga Shinawatra, telah melancarkan serangan terbuka yang luar biasa terhadap Paetongtarn dan keluarganya dalam ucapan televisyen selama beberapa jam pada Jumaat, dengan menyeru perubahan kerajaan di Thailand.

Kementerian Luar Thailand menyifatkan ucapan itu sebagai “luar biasa” namun menegaskan bahawa Thailand lebih mengutamakan penyelesaian melalui diplomasi bagi menangani pertikaian dua hala yang semakin memuncak.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *