netflix-city

Netflix Rancang Labur RM11 bilion Untuk Hasilkan Siri TV, Filem Korea Selatan

Netflix Inc berkata hari ini bahawa mereka merancang untuk melabur AS$2.5 bilion (RM11.12 bilion) di Korea Selatan dalam tempoh empat tahun akan datang untuk menghasilkan siri TV Korea, filem dan rancangan tanpa skrip, menggandakan jumlah pelaburan syarikat itu dalam pasaran sejak 2016.

Gergasi perkhidmatan penstriman AS mengumumkan hal itu selepas pertemuan antara Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan CEO bersama Netflix, Ted Sarandos di Washington dalam lawatan rasmi enam hari Presiden Yoon di AS.

Presiden Yoon menganggap pelabur itu sebagai “peluang utama” untuk industri kandungan Korea Selatan dan Netflix ketika Korea Selatan sedang berusaha meningkatkan eksport budaya dan keupayaan bekerjasama.

Dikenali sebagai “Gelombang Korea” atau Hallyu, industri hiburan Korea Selatan telah menikmati ledakan global dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pasaran muziknya, yang diketuai oleh kumpulan K-pop seperti BTS dan Blackpink, telah mempelopori industri dengan eksport kandungan termasuk muzik, permainan video dan filem di Korea Selatan pada 2021 telah mencapai rekod tertinggi sebanyak AS$12.4 bilion.

Angka itu jauh meninggalkan nilai yang diperoleh menerusi jumlah eksport peralatan rumah dan bateri boleh dicas semula.

Menurut Sarandos,  Netflix mempunyai ‘keyakinan besar’ bahawa industri kreatif Korea Selatan dapat terus menawarkan kisah-kisah menarik sambil memberi contoh kejayaan global siri drama, Squid Game, The Glory dan Physical 100 baru-baru ini.

Squid Game, keluaran 2021, kekal sebagai siri paling banyak ditonton Netflix sepanjang masa, setelah memperoleh 1.65 bilion jam penstriman dalam 28 hari pertama.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *