Panel OPEC+ berkemungkinan akan mengekalkan dasar pengeluaran minyak semasa kumpulan itu pada bermesyuarat minggu depan, kata lima sumber OPEC+ kepada Reuters.
Kenyataan ini disokong oleh kedudukan permintaan China yang bertambah baik dan dijangka memacu kenaikan harga minyak, sekali gus mengimbangi kebimbangan terhadap ekonomi.
Menteri dari Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu yang diketuai oleh Rusia, yang dikenali secara kolektif sebagai OPEC+, akan bertemu secara maya pada 1 Februari ini.
Bagaimanapun, panel yang dipanggil sebagai Jawatankuasa Pemantauan Menteri Bersama (JMMC) masih berkuasa untuk mengadakan mesyuarat penuh OPEC+ jika dibenarkan.
Pertemuan itu akan diadakan ketika harga minyak telah meningkat pada 2023 ke paras AS$90 setong berikutan harapan pemulihan permintaan di China.
Sementara itu, Kesatuan Eropah dan G7 dilaporkan bersedia untuk meluaskan had harga minyak mentah Rusia kepada produk ditapis mulai 5 Februari.
Reuters juga melaporkan bahawa JMMC juga akan berbincang mengenai prospek ekonomi dan skala permintaan China, dan tidak mungkin melakukan sebarang perubahan kepada dasar semasa.
“Kami pasti akan berbincang mengenai ekonomi dan inflasi China. Tiada jangkaan baru untuk mesyuarat ini. Ini bukan mesyuarat OPEC+, tetapi hanya JMMC tanpa keputusan atau cadangan,” kata sumber OPEC+ tersebut.