oil-14

OPEC+ Umum Pemotongan Terbesar Sejak Pandemik, Harga Di Paras Tertinggi Tiga Minggu

Harga minyak melonjak ke paras tertinggi tiga minggu selepas OPEC dan sekutunya yang diketuai Rusia mengumumkan pemotongan yang besar dalam pengeluaran.

Dalam pertemuan di Vienna, OPEC yang dianggotai 13 negara pengeluar bersama 10 pengeksport yang diketuai oleh Rusia bersetuju untuk mengurangkan sehingga 2 juta tong sehari (bpd) mulai November.

Angka itu merupakan pengurangan terbesar pernah diumumkan sejak kemuncak pandemik pada 2020.

Keputusan itu juga dibuat walaupun masih terdapat kebimbangan terhadap isu inflasi yang telah mendorong kebanyakan bank-bank pusat utama menaikkan kadar faedah dengan lebih agresif.

Pasaran hanya menunjukkan reaksi yang sederhana selepas pengumuman itu berikutan para pelabur telah mula meletakkan posisi pembelian sejak pembukaan pasaran minggu ini.

Hal ini didorong oleh spekulasi yang tinggi bahawa OPEC+ akan mengumumkan pemotongan yang besar berikutan harga telah merosot sehingga ke paras sebelum tercetusnya perang di Ukraine.

Kontrak hadapan Brent melonjak dua peratus selepas keputusan diumumkan, didagang sekitar AS$93.56 setong setakat jam 10.55 pagi, merekodkan peningkatan hampir 6% setakat minggu ini.

Minyak WTI juga mencatatkan peningkatan yang sama, berada sekitar paras AS$87.95, namun dengan kenaikan mingguan yang lebih tinggi, naik 10% sepanjang dagangan tiga hari.

Momentum bagaimanapun semakin reda pada hari ini kerana pasaran sedang menantikan lebih banyak butiran mengenai cara OPEC+ melaksanakan pemotongan itu serta tindak balas AS ke atas tindakan tersebut.

Penganalisis Swissquote Ipek Ozkardeskaya memberi amaran bahawa pemotongan besar itu akan memakan diri negara pengeluar jika ia mendorong inflasi yang lebih tinggi.

Hal ini kerana ia akan meningkatkan risiko kenaikan kadar faedah yang lebih agresif sehingga mencetuskan kemelesetan.

“Semakin tinggi harga tenaga, semakin besar langkah bank pusat untuk menarik harga lebih rendah,” katanya sebelum keputusan itu diumumkan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *