Pemilihan PKR : DSAI mahu calon saling menghormati ketika berkempen

Rio Boestamam
1 Min Read

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengingatkan semua calon yang bertanding dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat parti supaya berkempen dengan berhemah.

Anwar, yang juga Perdana Menteri, berkata walaupun mungkin wujud perbezaan pendapat, para calon perlu menjaga batas dan menghormati semua pihak yang terlibat.

“Mereka ini telah banyak berjasa. Saya nasihatkan rakan-rakan supaya berhati-hati dalam memberi komen dan jangan lupakan mereka yang telah banyak berkorban dan menyumbang kepada parti.”

“Ada calon Naib Presiden yang mungkin masih muda, tetapi telah melalui pelbagai cabaran. Jadi, walaupun kita tidak bersetuju dalam beberapa perkara, kita perlu berhati-hati dan tetap menunjukkan rasa hormat kepada semua,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia selepas merasmikan pejabat PKR Langkawi hari ini.

Dalam ucapannya sebelum itu, Anwar berkata beliau tidak terlalu bimbang dengan persaingan antara calon, khususnya bagi jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden, kerana kebanyakan mereka merupakan ahli parti yang setia dan telah lama berjuang.

“Jadi, janganlah kita memanaskan suasana semata-mata kerana perebutan jawatan. Segala pertikaian perlu diselesaikan secara baik,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa para calon tidak seharusnya menganggap satu sama lain sebagai lawan selepas proses pemilihan tamat, sebaliknya harus saling menghormati dan memaafkan.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *