Pendatang Tanpa Izin kantoi kerana gagal nyanyi lagu Negaraku

Rio Boestamam
2 Min Read

Seorang pendatang tanpa izin gagal melepaskan diri selepas cubaan menyamar sebagai warganegara. Invidu tersebut merupakan sebahagian warga asing yang ditahan semasa serbuan Imigresen di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway. Penyamarannya akhirnya terbongkar selepas gagal menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.

Lelaki tersebut, berusia dalam lingkungan 30-an, merupakan antara 597 pendatang tanpa izin yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi besar-besaran yang memeriksa 1,597 warga asing bermula jam 9 malam.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha, berkata operasi ini melibatkan 139 anggota Imigresen, dengan bantuan 200 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), 40 kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 6 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 5 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 472 lelaki dan 125 wanita, berumur antara 11 hingga 59 tahun,” katanya dalam sidang media selepas operasi.

Cubaan Melompat dari Tingkat Lima

Ada antara warga asing yang ditahan cuba melarikan diri dengan melompat dari tingkat lima bangunan, namun tindakan pantas anggota bertugas berjaya menghalang mereka daripada mencederakan diri.

Jenis Kesalahan dan Tindakan Lanjut

Antara kesalahan yang dikesan termasuk:

  • Tiada dokumen pengenalan diri
  • Tinggal lebih masa
  • Menggunakan kad pengenalan palsu atau tidak diiktiraf
  • Pelanggaran Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963

Semua yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Semenyih untuk siasatan lanjut.

Penyewaan Rumah oleh Penduduk Tempatan kepada Pendatang Asing

Menurut Jafri, siasatan awal mendapati ada penduduk tempatan menyewakan unit kediaman mereka kepada pendatang tanpa izin. Kadar sewa sebuah rumah dikatakan sekitar RM1,100 hingga RM1,300, dan ada unit yang diubah suai dengan sekatan dalaman (partition) untuk disewakan pada kadar RM280 sebulan satu bilik.

Beliau turut memaklumkan bahawa serbuan dilakukan selepas dua minggu risikan berikutan aduan awam mengenai kehadiran ramai warga asing di kawasan tersebut.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *