Industri sarung tangan latex global bakal menyaksikan perang harga

Rio Boestamam
2 Min Read

Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research menjangkakan industri sarung tangan bakal berdepan perang harga berikutan pengeluar dari China yang kini giat meluaskan operasi ke luar negara.

Perkembangan ini menjadi satu lagi cabaran besar buat pengeluar sarung tangan Malaysia, yang selama ini menyumbang bahagian besar bekalan global tetapi kini sedang bergelut dengan keadaan pasaran yang mencabar.

“Dengan semakin ramai pemain China melabur dalam kapasiti luar negara untuk menembusi pasaran AS dengan lebih berkesan, persaingan dijangka menjadi lebih sengit, terutamanya selepas tahun 2025. Kami melihat kemungkinan tinggi berlakunya perang harga dalam pasaran yang terlebih bekalan,” menurut laporan Maybank IB.

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa kapasiti baharu daripada salah satu pengeluar utama sarung tangan China dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun 2025.

Pada awal tahun 2025, saham syarikat pengeluar sarung tangan latex di Malaysia dan Indonesia melonjak naik selepas Trump mengumumkan tarif yang tinggi terhadap China.

Difahamkan, syarikat China tersebut telah mula memasarkan kapasitinya kepada pelanggan di Amerika Syarikat, menawarkan sarung tangan dari kilang luar negaranya di Vietnam dan Indonesia pada harga jualan purata (ASP) sebanyak AS$16–17 bagi setiap 1,000 helai, dengan penghantaran bermula November 2025.

Sebagai perbandingan, ASP bagi pengeluar sarung tangan Malaysia adalah sekitar AS$18–19 bagi setiap 1,000 helai.

Maybank IB menyatakan bahawa walaupun strategi harga ini mungkin sebahagian daripada pendekatan pemasaran pengeluar China, harga boleh berubah mengikut permintaan, kadar tarif, dan reaksi balas daripada syarikat Malaysia.

“Kami kekal dengan penilaian ‘Negatif’ terhadap sektor ini memandangkan persaingan kini semakin meningkat, dengan tambahan kapasiti dari China menyasarkan pasaran bukan AS dan kilang luar negaranya fokus kepada pasaran AS,” jelas laporan itu lagi.

Tambahnya, walaupun terdapat ketidakpastian mengenai jumlah bekalan sebenar dan jadual operasi kilang luar negara itu, sebarang peningkatan kapasiti yang ketara berkemungkinan akan menekan harga dan margin keuntungan.

“Pada pandangan kami, perang harga semakin hampir menjadi kenyataan.”

Dalam masa sama, Maybank IB turut menjangkakan keputusan kewangan pengeluar sarung tangan akan terus lemah, antara lainnya disebabkan oleh penyusutan nilai dolar AS berbanding ringgit.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *