Nike-store

Permintaan Semakin Lemah, Nike Akan Kurangkan Dua Peratus Kakitangan

Nike akan mengurangkan kira-kira 2 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya, atau lebih daripada 1,600 pekerjaan, kata gergasi pakaian sukan itu hari ini.

Kadar sewa dan faedah yang lebih tinggi telah menyebabkan pelanggan mengurangkan perbelanjaan bagi barangan berharga tinggi, memberi tekanan kepada syarikat-syarikat pakaian sukan seperti Nike dan Adidas berikutan permintaan yang lemah.

Nike pada Disember lalu telah menggariskan pelan penjimatan AS$2 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang, termasuk mengetatkan bekalan beberapa produk dan mengurangkan lapisan pengurusan.

Pemotongan kos itu termasuk kira-kira AS$400 juta hingga AS$450 juta dalam kos pemberhentian pekerja pada suku ketiga, kata Nike yang mempunyai kira-kira 83,700 pekerja setakat 31 Mei tahun lalu.

Pemberhentian kerja adalah cara Nike untuk keluar daripada kebimbangan bahawa permintaan “berpontensi menurun lagi”, kata pengarah urusan GlobalData Neil Saunders.

Nike juga telah kehilangan beberapa ruang runcit kepada jenama baru seperti Decker Outdoors’ Hoka dan On Holding berikutan para pelanggan menumpukan kepada gaya kasut larian yang menarik dan inovatif.

“Nike juga mahu melabur lebih banyak dalam bidang seperti berlari supaya ia boleh memperoleh bahagian pasaran, untuk melakukan itu ia perlu mengimbangi perbelanjaan tambahan dengan beberapa pengurangan di tempat lain,” kata Saunders.

The Wall Street Journal, yang pertama kali melaporkan berita itu, berkata pemotongan itu dijangka bermula pada Jumaat ini, dan fasa kedua akan selesai menjelang akhir suku semasa.

Pemberhentian itu tidak dijangka memberi kesan kepada pekerja di kedai dan pusat pengedaran atau mereka dalam pasukan inovasinya, kata laporan itu.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *