Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan anak-anak syarikatnya tidak diwajibkan mendapatkan lesen operasi daripada kerajaan negeri Sarawak untuk beroperasi di negeri itu. Namun mereka tetap perlu memohon pengecualian, jelas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita beri mereka pengecualian sekiranya mereka memohon. Mereka perlu maklumkan kepada kita dahulu, barulah kita beri pengecualian,” katanya dalam sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun Petroleum Sarawak Berhad (Petros) telah diiktiraf secara rasmi sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak di bawah pengisytiharan bersama antara kerajaan persekutuan dan negeri yang baharu. Namuin kuasa untuk mengeluarkan lesen operasi masih terletak di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT).
“Kuasa pelesenan adalah di bawah kementerian. Petros hanyalah pengagregat gas, tetapi kuasa untuk mengeluarkan lesen adalah milik MUT, dan kementerian juga mempunyai kuasa untuk memberi pengecualian. Petronas, sebagai syarikat nasional, kita berikan pengecualian kepada mereka,” katanya lagi.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.