robinhood-stock

Robinhood Buang 9% Pekerja Selepas Hampir Setahun Beroperasi Sebagai Syarikat Awam

Robinhood Markets Inc, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan terkenal dari AS mengumumkan pembuangan 9% daripada 3800 kakitangannya berikutan pertindihan kerja yang tinggi.

Syarikat pemula dari Silicon Valley yang pernah mengancam untuk mencabar Wall Street itu berkata isu pertindihan itu mula berlaku dalam tempoh “pertumbuhan hiper” dan pengambilan pekerja yang mendadak pada 2020 dan awal 2021.

“Pertumbuhan jumlah kakitangan yang pantas ini telah membawa kepada pertindihan beberapa peranan dan fungsi kerja, lebih banyak lapisan dan kerumitan daripada yang optimum,” kata CEO Robinhood, Vlad Tenev dalam satu kenyataan.

Robinhood yang terkenal dengan saham terbitan awam (IPO) paling hangat pada akhir Julai tahun lalu, hanya mengalami kerugian yang berterusan sejak debutnya itu dengan nilai saham sehingga hari ini telah menjunam sekitar 75 peratus.

Broker dalam talian itu meledak popularitinya semasa wabak berikutan para pelabur baharu menggunakan aplikasinya untuk berdagang, termasuk peningkatan dalam saham meme dan mata wang kripto.

Bagaimanapun, sejal beroperasi sebagai syarikat awam, aktiviti dagangan yang membentuk sebahagian besar hasil syarikat itu mula berkurangan, dan tiada satu pun tawaran terbarunya – termasuk dompet kripto dan kad debit – telah membantu membendung penurunan yang berlaku.

Robinhood, yang dijadualkan melaporkan pendapatan suku pertama selepas pasaran AS ditutup pada Khamis, telah mencatatkan kerugian lebih AS$2 bilion sejak IPO.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *