Saham TNB menjunam selepas kalah kes cukai di Mahkamah Persekutuan

Boboi CTC
2 Min Read

Saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) jatuh mendadak dalam dagangan aktif hari ini selepas syarikat utiliti elektrik negara itu tewas dalam pertikaian cukai lama di Mahkamah Persekutuan.

Saham TNB susut sehingga 74 sen atau 5.07% ke paras terendah RM13.86 pada sesi pagi. Pada jam 9.53 pagi, sahamnya berada pada RM13.96, turun 64 sen atau 4.38%, dengan 8.64 juta saham didagangkan. Ini menjadikan jumlah modal pasaran syarikat sebanyak RM81.61 bilion.

Penganalisis memberi amaran mengenai risiko peruntukan cukai yang besar dan kemungkinan kesan terhadap kes mahkamah lain yang masih belum selesai.

Menurut Hong Leong Investment Bank, TNB berkemungkinan perlu membuat peruntukan cukai sekali gus sehingga RM6.8 bilion dalam suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025), susulan pertikaian dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tuntutan cukai yang ditolak.

TNB sebelum ini telah membayar RM1.76 bilion kepada LHDN pada tahun 2020, meninggalkan baki tuntutan sebanyak RM5.05 bilion yang masih belum diselesaikan.

TNB merancang untuk menuntut Elaun Cukai Pelaburan (ITA) bagi mengimbangi liabiliti tersebut, namun proses kelulusan dijangka mengambil masa kerana Kementerian Kewangan perlu menilai setiap kes secara individu Sementara itu, CIMB Securities pula menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan ini boleh menjadi ‘duluan ‘precedent’ undang-undang yang menjejaskan kes-kes lain TNB berkaitan notis taksiran tambahan daripada LHDN.

Menurut CIMB, jumlah keseluruhan tuntutan cukai tambahan bagi tahun 2013 hingga 2021 adalah sebanyak RM5.05 bilion, termasuk RM1.25 bilion untuk tahun 2018.

Dalam senario terburuk di mana TNB perlu membayar keseluruhan jumlah tersebut, harga sasaran saham akan terjejas sebanyak 87 sen setiap unit saham atau 5.5%. Namun, keuntungan teras dijangka tidak terjejas sekiranya tuntutan ITA berjaya.

Dari sudut keuntungan bersih utama, CIMB menjangkakan senario itu boleh menjejaskan sepenuhnya unjuran keuntungan bersih TNB bagi tahun kewangan 2025 sebanyak RM3.78 bilion. Namun, kesannya terhadap keuntungan bersih teras mungkin kecil kerana caj cukai itu dianggap sebagai kos sekali sahaja.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *