Arab Saudi kini sedang menumpukan perhatiannya untuk meningkatkan hubungan dengan salah satu pesaing utama Amerika Syarikat beberapa hari selepas menyambut kehadiran Setiausaha Negara AS Antony Blinken.
Riyadh, ibu negara Saudi telah menjadi tuan rumah kepada perhimpunan perniagaan Arab-China terbesar yang pernah dilaksanakan.
Pihak kementerian Saudi ketika mengulas mengenai penyepaduan China ke rantau Arab berkata bahawa mereka bersedia untuk “menyahAmerikakan” pengeksport minyak utama dunia itu.
“Masanya telah tiba, pada pandangan saya, untuk China menjadi rakan pelaburan utama dalam pemacu pembangunan dunia Arab,” kata Menteri Pelaburan Saudi Khalid Al-Falih dalam ucaptama pada Ahad lalu mencadangkan kuasa ekonomi Arab bertindak sebagai “jambatan” ke seluruh wilayah.
Hal ini kerana Timur Tengah telah menjadi kurang keutamaan strategik bagi AS, sehingga meninggalkan kekosongan politik dan ekonomi untuk diisi oleh para pesaingnya.
Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) sebelum ini memulakan tempoh perkhidmatannya dengan menyantuni sekutu tradisinya, memulakan lawatan besar ke AS dan membina hubungan dengan pentadbiran Donald Trump.
Namun begitu hubungan semakin memburuk selepas pembunuhan kolumnis Washington Post oleh ejen Saudi pada 2018.
Hubungan buruk Presiden Joe Biden dengan MBS, juga menyumbang kepada Arab Saudi menolak permohonan AS untuk mengepam lebih banyak minyak apabila harga minyak mentah meningkat berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Lawatan Blinken pulah dilihat sebagai tanda baharu bahawa hubungan tersebut semakin pulih. Namun begitu, perselisihan yang mendalam masih kekal terhadap Barat berhubung isu-isu termasuk kemasukan China ke Timur Tengah khususnya dalam pertahanan dan keselamatan.
Setelah gagal mempengaruhi dasar Amerika mengenai program nuklear Iran atau mendapatkan banyak bantuan AS dalam menangkis serangan tentera yang disokong Iran, MBS kini beralih kepada China untuk memulihkan hubungan dengan saingan Teluknya.