Satu laporan yang mengejutkan tentang seorang penumpang yang terselamat dalam nahas pesawat penumpang menuju ke London yang terhempas di bandar Ahmedabad, India semalam dengan 242 orang di dalamnya memberikan sedikit harapan.
Pasukan penyelamat India bersama anjing pengesan bekerja sepanjang malam, mengorek serpihan pesawat yang masih berasap untuk mencari petunjuk punca letupan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India yang sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Gatwick, London, selepas berlepas dari Ahmedabad.
Mayat-mayat dari penerbangan Air India 171 dikeluarkan dari serpihan badan pesawat yang hancur dan juga dari bangunan asrama kakitangan perubatan yang turut musnah akibat pelanggaran itu. Ramai yang terbunuh di bangunan tersebut.
Setakat ini, angka korban telah mencecah 260 orang, menurut polis.
Namun beberapa jam selepas pihak berkuasa mengumumkan bahawa “tiada mangsa yang terselamat”, muncul laporan yang menggemparkan di mana seorang lelaki dilaporkan berjaya menyelamatkan diri.
“Seorang mangsa terselamat telah disahkan,” kata Dhananjay Dwivedi, Setiausaha Utama Jabatan Kesihatan negeri Gujarat, kepada AFP. Lelaki itu sedang dirawat di hospital, katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, yang melawat tapak kejadian serta hospital, menyatakan rasa sedih yang amat mendalam terhadap tragedi tersebut. Namun beliau juga memaklumkan kepada media bahawa beliau telah mendengar “berita baik mengenai seorang mangsa yang terselamat” dan telah bertemu dengannya.
Media tempatan melaporkan bahawa mangsa duduk di kerusi 11A, berdasarkan video yang menunjukkan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan tempang, namun masih mampu berjalan ke arah ambulans.
Lelaki itu dipercayai bernama Vishwash Kumar Ramesh, seorang warga Britain berumur 40 tahun, antara 53 warga UK yang menaiki pesawat tersebut. AFP tidak dapat mengesahkan maklumat itu, namun BBC melaporkan bahawa sepupunya di Leicester, Ajay Valgi, menyatakan bahawa Ramesh telah menghubungi keluarganya dan memaklumkan bahawa beliau “selamat”.
Agensi berita Press Association di UK turut bercakap dengan adiknya, Nayan Kumar Ramesh, 27 tahun, juga dari Leicester. “Dia kata, saya sendiri tidak tahu bagaimana saya keluar dari pesawat itu,” kata adiknya kepada PA.