powell4

Siri Kenaikan Kadar Faedah Yang Agresif Berpotensi Memicu Kemelesetan – Powell

Ekonomi AS masih kukuh, namun dengan siri kenaikan kadar faedah yang agresif untuk menangani inflasi berkemungkinan akan memicu kemelesetan, kata Pengerusi Fed Jerome Powell hari ini.

Dalam keterangan dihadapan senator, Powell berkata AS berdepan dengan persekitaran global yang “tidak menentu” dan berpotensi melihat lebih banyak “kejutan” inflasi.

Pengerusi Fed itu bagaimanapun menekankan bahawa bank pusat memahami kesusahan yang disebabkan oleh kenaikan harga dan komited untuk menurunkan inflasi, yang telah mencapai paras tertinggi dalam 40 tahun.

Pada minggu lalu, Fed telah mengumumkan peningkatan kadar faedah terbesar hampir 30 tahun lalu dan berjanji akan mengumumkan lebih banyak langkah bagi membendung lonjakan harga.

Namun begitu, apabila disoal mengenai prospek kemelesetan, Powell mengakui ia tidak boleh diketepikan.

“Ia bukan kesudahan yang kami inginkan, tetapi ia semestinya satu kemungkinan,” katanya kepada Jawatankuasa Perbankan Senat.

“Dan sejujurnya, kejadian di seluruh dunia beberapa bulan lalu telah menyukarkan kami untuk mencapai apa yang kami inginkan, iaitu dua peratus inflasi dan pasaran buruh yang kekal kukuh.” tambah beliau.

Dalam ucapan pembukaannya, Powell menegaskan bahawa ekonomi AS “sangat kukuh dan berada pada kedudukan yang baik untuk mengendalikan dasar monetari yang lebih ketat.”

“Inflasi jelas telah mengejutkan dengan peningkatan sepanjang tahun lalu, dan kejutan mungkin akan terus berlaku,” ujar Powell.

Penggubal dasar “perlu lincah” memandangkan ekonomi “sering berkembang dalam cara yang tidak dijangka,” katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *