Pusat data di Malaysia menjadi tumpuan syarikat AI dari China

Boboi CTC
2 Min Read

Syarikat-syarikat dari China dilaporkan telah membawa masuk beg berisi cakera keras ke Malaysia untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) mereka di pusat data yang dilengkapi cip canggih Nvidia, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ).

Pada awal Mac lalu, empat jurutera dari Beijing terbang ke Malaysia, masing-masing membawa beg berisi 15 cakera keras mengandungi 80 terabait data (termasuk helaian hamparan, imej dan klip video) untuk digunakan dalam latihan model AI, kata laporan tersebut.

Majikan mereka menyewa sekitar 300 pelayan (servers) dengan cip Nvidia canggih bagi memproses data tersebut, membina model AI dan membawanya pulang ke China. Rancangan ini dikatakan mengambil masa beberapa bulan untuk disediakan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia tidak memberikan maklum balas kepada pertanyaan WSJ semasa laporan itu diterbitkan pada 12 Jun, dan juga tidak menjawab pertanyaan oleh The Edge sejak Selasa.

Malaysia menerima tekanan daripada Amerika Syarikat untuk memastikan sebarang teknologi semikonduktor tidak disalurkan ke China.

Langkah ini dilakukan ketika Amerika Syarikat sedang mengetatkan sekatan terhadap akses China kepada cip berprestasi tinggi yang penting untuk pembangunan AI dan pusat data. Ini merupakan sebahagian daripada perang dagangan yang lebih besar. China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama lebih sedekad.

Malaysia pula menjadi penerima pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin meningkat dalam sektor pusat data, sejajar dengan permintaan global terhadap pengkomputeran lanjutan dan AI. Setakat ini, kapasiti pusat data yang diumumkan telah mencecah hampir lima gigawatt.

Menurut WSJ, apabila Nvidia dan vendor-vendornya mula menjalankan audit ketat terhadap pengguna akhir cip AI, syarikat China tersebut diminta oleh pusat data di Malaysia pada akhir tahun lalu untuk beroperasi melalui entiti tempatan, yang dilihat boleh mengurangkan risiko disiasat.

Syarikat China itu kemudian mendaftarkan sebuah entiti di Kuala Lumpur, dengan tiga rakyat Malaysia dinamakan sebagai pengarah dan sebuah syarikat pegangan luar pesisir disenaraikan sebagai syarikat induk. Namun, laporan WSJ tidak mendedahkan identiti individu atau entiti yang terlibat.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *