Tarif Gila AS: India Dipaksa Pilih antara China atau Amerika?

Rio Boestamam
2 Min Read

Di saat Amerika Syarikat di bawah Donald Trump meningkatkan perang tarif terhadap India, China muncul dengan amaran keras. Lawatan Wang ke India menjadi simbol penting selepas lima tahun insiden berdarah di Lembah Galwan. Kini, dua kuasa besar Asia itu cuba menormalkan hubungan mereka di tengah kekacauan ekonomi global yang semakin parah akibat dasar perdagangan AS.

Menteri Luar China, Wang Yi, menuduh “buli sepihak semakin berleluasa” sebagai sindiran jelas terhadap Washington.

Menteri Luar India, Dr S Jaishankar, pula menegaskan bahawa India dan China mesti bergerak dengan “saling menghormati, saling peka dan saling berkepentingan”. Beliau mengingatkan bahawa perbezaan tidak boleh dibiarkan menjadi pertikaian sehingga merosakkan kestabilan rantau.

China dalam masa sama menawarkan janji besar kepada India: menyelesaikan isu bekalan baja, unsur nadir bumi, dan mesin pengorek terowong. Unsur nadir bumi menjadi perhatian utama kerana ia adalah bahan penting untuk pembuatan telefon pintar, bateri, dan juga peralatan ketenteraan moden. Dengan kawalan pengeluaran yang hampir dikuasai Beijing, langkah ini dilihat sebagai isyarat bahawa China sanggup melentur demi memikat India.

Namun di sebalik “bulan madu baru” ini, Amerika Syarikat semakin menekan New Delhi. Washington mengenakan tarif setinggi 50% terhadap eksport India sebagai tindak balas kepada pembelian minyak murah dari Rusia. India menegaskan ia tidak tunduk pada tekanan dan pembelian itu dibuat demi menjamin keselamatan tenaga untuk 1.4 bilion rakyatnya.

Suasana ini meletakkan India dalam dilema, sama ada untuk terus memperkukuh hubungan dengan China demi kepentingan ekonomi, atau berdepan risiko ketegangan dengan Washington. Apa yang pasti, rantau Asia kini kembali menjadi medan pertembungan pengaruh kuasa besar dunia.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *