Zohran Mamdani menang pilihan raya datuk bandar New York

Rio Boestamam
2 Min Read

Di New York City, seorang sosialis demokrat berusia 33 tahun, Zohran Mamdani, baru-baru ini telah berjaya menewaskan calon parti yang lebih berpengaruh dalam pemilihan peringkat utama Datuk Bandar. Kemenangannya dipacu oleh golongan muda kelas pekerja yang sudah bosan dengan sistem yang mengabaikan kesusahan harian mereka.

Beliau bukan sahaja berjaya meraih sokongan pengundi setia, malah membina jambatan sokongan merentas komuniti, termasuk menang besar di kawasan Yahudi konservatif dengan lebih 70% undi. Kemenangan beliau bukan soal politik identiti, tetapi tentang kelangsungan hidup.

Malaysia kini berdepan krisis kemampuan hidup yang serius, namun kebanyakan parti politik masih terpaku dengan pendekatan ekonomi lama yang lapuk.

Pengajaran dari New York sangat jelas. Di mana, apabila calon bercakap lantang mengenai isu perumahan, gaji dan keadilan, (disandarkan kepada dasar sebenar dan bukan gimik perhubungan awam) golongan muda akan bangkit. Mereka tidak perlukan restu arus perdana untuk bertindak.

Pendekatan kempen menggunakan media sosial yang agresif juga dikatakan sebagai penyumbang utama kepada kemenangan Mamdani.

Anak muda Malaysia bukan tidak peduli. Mereka cakna, marah dan semakin teratur. Dari protes kampus hingga jaringan bantuan sesama sendiri, mereka kini mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh kepimpinan lama dan slogan-slogan selamat.

Apa yang dituntut bukan sekadar perwakilan, tetapi pengagihan semula peluang, kekayaan dan maruah. Pemimpin yang mengabaikan realiti ini akan mendapati dewan mereka makin kosong. Sudah tiba masanya untuk berhenti melihat cadangan ekonomi progresif sebagai risiko politik.

Dalam negara yang mana kos sara hidup mengatasi kadar kenaikan gaji, dan memiliki rumah ibarat mimpi bagi ramai orang. Tuntutan seperti kawalan sewa, pendidikan percuma atau perumahan awam bukanlah sesuatu yang radikal, tetapi langkah bertanggungjawab.

Parti-parti politik yang akan bertahan dalam dekad mendatang adalah mereka yang berhenti bertahan semata-mata dan mula menawarkan visi yang layak diperjuangkan. Parti politik Malaysia kini berdepan pilihan drastik. Sama ada terus mengurus krisis, atau mengubahnya.

Propaganda TikTok dan sayap pemuda tidak lagi memadai. Pengundi muda bijak. Mereka tahu beza antara penjenamaan dan keikhlasan. Jika sistem tidak mewakili mereka, mereka akan bina sistem baru yang mampu.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *