tnb1

TNB Sasar Kembangkan Portfolio Tenaga Boleh Diperbaharui Di Asia Pasifik, Eropah

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyasar mengembangkan portfolionya dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam pasaran antarabangsa sedia ada seperti United Kingdom (UK) serta di seluruh Asia Pasifik dan Eropah.

Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB, Mohd Zarihi Mohd Hashim berkata peluasan portfolio itu akan dilaksanakan melalui penubuhan dan peningkatan kepakaran dalam pembangunan aset, meliputi tenaga solar dan angin, sama ada di darat atau di laut, disokong oleh simpanan utiliti (storan bateri).

Beliau berkata antara pemacu utama strategi penerokaan ialah kerjasama strategik untuk meningkatkan kadar penembusan pasaran dan pembangunan keupayaan atau kecekapan untuk memberikan kecemerlangan operasi.

“Di TNB, kami juga percaya kepada kerjasama, dalam dan luar negara. Kerjasama adalah penting untuk memupuk inovasi dan untuk melaksanakan peralihan tenaga yang berjaya.

“Oleh itu, kami akan terus meneroka pasaran baharu di Eropah dan rantau Asia Pasifik,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, Mohd Zarihi berkata, untuk menjalankan penerokaan pasaran di Eropah, TNB mempunyai anak syarikat milik penuh, Vantage RE Ltd di UK, yang akan menjadi pusat tumpuan operasi dalam menerokai aset penjanaan tenaga boleh diperbaharui di UK dan Eropah.

“Selain itu, kami juga sedang aktif meneroka pasaran Asia Tenggara di mana kami mempunyai beberapa rakan strategik di Vietnam, Laos, dan Thailand untuk terus membangunkan kerjasama di peringkat Asean dalam topik rentas sempadan untuk Malaysia menjadi hab tenaga hijau di rantau ini,” ujarnya.

Tambah beliau, pelabur kini mempunyai keyakinan untuk melabur dalam industri tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan dasar, panduan dan pembiayaan yang jelas untuk pelaburan teknologi baharu.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *