Tragedi nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan yang meragut 179 nyawa telah memberi kesan besar kepada industri penerbangan dan pelancongan Korea Selatan.
Menurut laporan Yonhap News Agency, pembatalan tempahan terus meningkat sejurus nahas tersebut. Jeju Air mencatatkan sebanyak 68,000 pembatalan tempahan penerbangan setakat jam 1 petang sehari selepas insiden dilaporkan.
Daripada jumlah itu, 33,000 adalah untuk penerbangan domestik, manakala 34,000 untuk laluan antarabangsa. Kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan menjadi faktor utama gelombang pembatalan ini.
Selain itu, agensi pelancongan tempatan turut menerima kesan negatif, dengan laporan peningkatan mendadak dalam pembatalan pakej percutian. Seorang ejen pelancongan yang enggan dikenali menyatakan bahawa pihaknya menerima lebih daripada 40 pertanyaan pembatalan pada hari kejadian sahaja, iaitu hampir dua kali ganda daripada kadar biasa. Tambahan pula, tempahan perjalanan dilaporkan menurun sehingga 50 peratus.
Banyak agensi pelancongan di Korea Selatan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghentikan sementara iklan dan kempen promosi mereka. Ketika ini, sektor pelancongan dan penerbangan tempatan memantau situasi dengan teliti, memandangkan kebimbangan awam terhadap keselamatan penerbangan dijangka memberi kesan berpanjangan terhadap pemulihan industri.
Tragedi ini menitik beratkan keperluan segera untuk menguatkan keselamatan penerbangan bagi mengembalikan keyakinan penumpang serta menyokong pemulihan sektor penerbangan dan pelancongan Korea Selatan yang terjejas teruk akibat insiden ini.
Add a Comment