Tun Mahathir dakwa pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar Ibrahim tidak sah

Rio Boestamam
2 Min Read

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar Ibrahim pada Mei 2018 tidak sah kerana ia tidak dibincangkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB).

Namun begitu, Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengingatkan bahawa Mahathir sendiri telah menghadiri mesyuarat FTPB yang memutuskan pemberian pengampunan tersebut.

Menurut AGC, mesyuarat FTPB diadakan di Istana Negara pada 16 Mei 2018 dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Mahathir selaku Perdana Menteri pada masa itu.

“Berdasarkan nasihat daripada lembaga tersebut, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pemberian pengampunan penuh kepada Anwar, yang berkuat kuasa serta-merta pada tarikh mesyuarat itu,” kata AGC.

Pakatan Harapan yang diketuai Tun M memenangi Pilihan Raya Umum pada tahun 2018.

AGC juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan awam yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai keputusan FTPB adalah tidak wajar sama sekali.

AGC memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan integriti perlembagaan dan institusi negara.

Anwar, yang kini Perdana Menteri, menerima pengampunan penuh seminggu selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum 2018. Beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama tiga tahun daripada tempoh lima tahun atas sabitan kes liwat.

Untuk makluman, FTPB dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai oleh Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan serta tiga ahli lain yang dilantik oleh Agong.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *