Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi menggesa semua menteri daripada DAP meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan siasatan kes Teoh sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Pengerusinya, Ng Yap Hwa, menyeru agar Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Menteri Komunikasi Digital Gobind Singh Deo, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berundur daripada jawatan masing-masing.
“Mereka perlu memikul tanggungjawab politik sepenuhnya bagi pihak DAP kerana gagal menunaikan janji-janji parti mengenai kes Teoh,” kata Ng dalam satu kenyataan. Menurutnya, tindakan ini akan menjadi bukti paling jelas bahawa DAP komited terhadap prinsip akauntabiliti.
Ng juga menegaskan bahawa pemimpin DAP tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan “tanggungjawab bersama Kabinet” tanpa mengambil sebarang tindakan.
Ng turut merujuk contoh bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim yang pernah meletak jawatan sebagai bantahan terhadap penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi untuk menahan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.
“Jika seorang menteri BN boleh meletak jawatan kerana penahanan seorang ahli parlimen DAP, tiada sebab lima menteri DAP sekarang tidak boleh berbuat demikian apabila kerajaan gagal membela ahli parti mereka sendiri, Teoh Beng Hock,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sikap berdiam diri DAP selepas keputusan AGC itu, sedangkan sebelum ini para pemimpin dan aktivis parti lantang bersuara mengenai isu tersebut, malah pernah menganjurkan majlis memperingati Teoh di seluruh negara.
Katanya lagi, sepanjang kempen pilihan raya, majlis memperingati dan sidang media, DAP sering berjanji bahawa sekiranya mereka berada dalam kerajaan persekutuan, mereka akan menuntut keadilan untuk Teoh.
“Pemimpin kanan DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo, dan Teo Nie Ching pernah menuntut keadilan untuk Teoh, tetapi kini tiada seorang pun bersuara.
“Kami menggesa DAP agar tidak lagi berdiam diri dan menegakkan prinsip akauntabiliti serta ketelusan yang selama ini diperjuangkan, dengan menyatakan secara terbuka pendirian politik mereka terhadap hasil siasatan kes Teoh kepada keluarganya,” kata Ng.
Minggu lalu, AGC dalam kenyataannya menjelaskan bahawa mereka telah meneliti kertas siasatan baharu yang dikemukakan oleh polis dan mendapati tiada bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pihak atas kematian Teoh.
Siasatan semula itu dilakukan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November lalu mengarahkan pihak polis untuk membuka semula dan menyiasat semula kes tersebut secara menyeluruh.
Sementara itu, adik perempuan Teoh, Lee Lan, merayu agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya untuk menegakkan keadilan dalam kes ini. Beliau meluahkan rasa kecewa apabila siasatan terbaharu sekali lagi diklasifikasikan sebagai NFA.