Elon-Musk-tweet-twitter

Twitter Mungkin Buang Tenaga Kerja Secara Besar-besaran Dalam Beberapa Bulan Mendatang

Elon Musk, manusia terkaya didunia memberitahu bakal pelabur dalam perjanjiannya untuk membeli Twitter Inc bahawa beliau merancang untuk membuang hampir 75 peratus daripada 7,500 pekerja syarikat media sosial itu, lapor Washington Post semalam.

Menurut laporan tersebut, pemotongan kakitangan itu dijangka akan berlaku dalam beberapa bulan mendatang, tidak kira siapapun pemilik syarikat tersebut.

Hal ini kerana pengurusan semasa Twitter merancang untuk mengurangkan jumlah gaji syarikat itu sebanyak kira-kira AS$800 juta menjelang akhir tahun depan, satu angka yang mengisyaratkan pengurangan hampir satu perempat daripada tenaga kerja.

Isu pemberhentian secara besar-besaran ini walau bagaimanapun dinafikan oleh jabatan sumber manusia di syarikat media sosial itu.

Bagaimanapun, dokumen menunjukkan bahawa rancangan yang besar untuk membuang kakitangan dan mengurangkan kos infrastruktur sudah ada sebelum Musk menawarkan untuk membeli syarikat itu, lapor Washington Post.

Musk telah cuba meninggalkan perjanjian untuk membeli Twitter pada Mei dengan mendakwa syarikat itu tidak menjelaskan jumlah sebenar akaun bot dan spam pada platform media sosial itu sehingga membawa kepada tindakan undang-undang.

Namun begitu, Musk mengubah semula pendiriannya dan berkata dia akan meneruskan perjanjian itu mengikut syarat asal.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *