china-shipping

Pertumbuhan 2022 China Paling Lemah Dalam 40 Tahun

Pertumbuhan ekonomi China pada 2022 menjadi antara yang paling lemah dalam empat dekad selepas krisis berkembar, pandemik dan hartanah.

Ekonomi hanya berkembang 3% pada tahun lalu, jauh lebih rendah daripada kadar 5.5% yang disasarkan kerajaan pada awal tahun dan 8.1% yang dicatatkan untuk 2021.

Beijing telah menetapkan sasaran pertumbuhan sekitar 5.5 peratus untuk 2022, namun jangkaan itu telah terjejas oleh dasar “sifar-Covid” kerajaan, yang telah menyekat banyak aktiviti pembuatan dan penggunaan.

Kang Yi, pengarah Biro Perangkaan Kebangsaan, bagaimanapun menyatakan pertumbuhan 3% China sebagai “agak pantas” berdasarkan situasi yang tidak dijangka dan berbeza dengan Jerman, AS dan Jepun.

Namun, beliau berkata situasi perdagangan global tidak optimistik, dan ekonomi dunia mungkin menghadapi stagflasi.

“Perniagaan masih menghadapi banyak kesukaran dalam pengeluaran dan operasi, inovasi saintifik dan teknologi tidak cukup kuat, dan orang ramai masih menghadapi kesukaran yang besar dalam pekerjaan,” jelas Kang.

“Kami masih perlu melakukan usaha gigih untuk menggalakkan peningkatan ekonomi secara keseluruhan,” tambahnya.

Kang berkata beliau menjangka hartanah tidak akan menyeret pertumbuhan pada 2023 seperti yang berlaku pada 2022.

Beliau juga menjangkakan harga pengguna secara keseluruhan akan stabil pada 2023 dan tiada asas untuk kenaikan besar.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *