Graduan Oxford kini jadi penghantar makanan akibat sukar dapat kerja

Rio Boestamam
2 Min Read

Dalam satu kisah yang menggambarkan cabaran mencari kerja dalam pasaran semasa, seorang graduan Universiti Oxford kini bekerja sebagai penghantar makanan selepas gagal mendapatkan pekerjaan. Menurut laporan 163.com, Ding Yuanzhao, 39 tahun, mula bekerja sebagai penghantar makanan di Singapura selepas kehilangan pekerjaan tahun lalu.

Ding, yang berasal dari China, memiliki pelbagai ijazah dari universiti-universiti terkemuka dunia. Ini termasuk ijazah sarjana dalam biodiversiti dari Universiti Oxford, sarjana dalam kejuruteraan tenaga dari Universiti Peking, dan ijazah kedoktoran dalam biologi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura.

Walaupun berkelulusan tinggi, Ding gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai. Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), beliau pernah menjalankan penyelidikan pasca kedoktoran di Universiti Nasional Singapura (NUS). Namun selepas kontraknya tamat pada Mac tahun lalu, beliau terpaksa beralih kepada pekerjaan sebagai penghantar makanan.

Beliau telah menghantar CV ke pelbagai syarikat dan menghadiri 10 temu duga, tetapi masih tidak berjaya mendapatkan kerja. Akhirnya, Ding mendaftar sebagai penghantar makanan di Singapura. Dengan bekerja selama 10 jam sehari, Ding memperoleh sekitar SG$700 seminggu.

Asia Tenggara merupakan rantau ke-4 yang paling banyak menggunakan aplikasi penghantaran makanan.

“Ia kerja yang stabil. Saya boleh menyara keluarga dengan pendapatan ini. Kalau rajin bekerja, pendapatannya cukup baik. Ia bukan kerja yang teruk,” kata Ding di media sosial.

“Salah satu kelebihan menghantar makanan ialah anda boleh bersenam pada masa yang sama,” tambahnya.

Ding berasal dari wilayah Fujian di China. Beliau menduduki peperiksaan masuk universiti kebangsaan China, gaokao, pada tahun 2004 dan memperoleh markah cemerlang (700 daripada 750). Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Tsinghua dan menamatkan pengajian dalam bidang kimia.

Selepas itu, beliau menyambung pelajaran ke Universiti Peking, Universiti Oxford, dan akhirnya NTU di Singapura.

Selepas gagal mendapatkan pekerjaan pada tahun 2024, beliau sebenarnya boleh memilih untuk menjadi tutor peribadi seperti yang dilakukan oleh ramai individu lain dalam situasi serupa. Namun, Ding berkata beliau tidak memilih jalan itu kerana “terlalu malu untuk mencari pelanggan sendiri.”

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *