Kenderaan perdagangan tanpa Peranti Had Laju (SLD) tidak dibenarkan di jalan raya

Aina Julia
2 Min Read

Kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan Peranti Had Laju (SLD) tidak akan dibenarkan berada di jalan raya kerana ia akan gagal dalam pemeriksaan kenderaan apabila penguatkuasaan berfasa sistem itu bermula pada 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pelaksanaan SLD merupakan langkah penting untuk mengawal kelajuan kenderaan berat dan mengurangkan risiko kemalangan maut, terutamanya melibatkan bas dan lori. Beliau menambah bahawa sistem seperti ini telah lama diwajibkan di negara-negara Eropah dan Singapura.

“Walaupun saya sedar bahawa ada pihak industri yang mungkin menentang dengan alasan kos tambahan dan sebagainya, dalam hal keselamatan jalan raya, nyawa manusia mesti diutamakan.

“Saya harap semua Yang Berhormat menyokong usaha kerajaan agar pelaksanaan ini berjalan lancar. Sebarang bantahan perlu ditangani dengan menyatakan bahawa keselamatan perlu diutamakan berbanding kos dan keuntungan perniagaan,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Contoh peranti had laju yang dipasang pada kenderaan perdagangan.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) yang bertanya mengenai impak penguatkuasaan SLD, kos dan penyelenggaraannya, kemungkinan kegagalan sistem serta sama ada negara lain turut mewajibkan penggunaan SLD.

Anthony Loke menjelaskan bahawa penguatkuasaan pemasangan SLD akan dilaksanakan secara tiga fasa, bermula Oktober ini:

  • Fasa 1: Bermula 1 Oktober 2025, melibatkan pengesahan fungsi SLD bagi semua kenderaan perdagangan yang dikeluarkan selepas 1 Januari 2015.
  • Fasa 2: Bermula 1 Januari 2026, pengaktifan SLD dalam Unit Kawalan Elektronik (ECU) bagi kenderaan perdagangan yang dibina sebelum 1 Januari 2015.
  • Fasa 3: Bermula 1 Julai 2026, melibatkan pemasangan semula (retrofit) SLD dengan kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada mana-mana kenderaan perdagangan yang belum mempunyai sistem tersebut.

Beliau turut menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PH-Gerik) mengenai cadangan mewajibkan sistem ‘cut-off’ automatik pada bas dan lori untuk menghadkan kelajuan atau memberhentikan kenderaan jika peraturan keselamatan diabaikan.

SLD ialah sistem kawalan kelajuan automatik yang menghadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui ECU tanpa mematikan enjin, sekaligus mengekalkan keselamatan operasi.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *