BYD Malaysia beri petunjuk Seal, tanda EV terbaru bakal mendarat di pasaran Malaysia.

Muq
By Muq
2 Min Read

BYD Malaysia semalam mengeluarkan video acah (teaser) menampilkan imej “seal” dengan kapsyen “Coming Soon”. Ini berkemungkinan memberi petunjuk tentang ketibaan model facelift BYD Seal 2025, yang telah dilancarkan di Singapura pada April 2025.

Dari segi rekaan, tiada perubahan besar diperkenalkan, kecuali rekaan baharu rim aloi dan bumbung dengan penutup suria beroperasi secara elektrik. Satu lagi penambahbaikan ialah ruang frunk 53 liter berbanding 50 liter pada model sedia ada.

model yang dilancarkan di Singapura hadir dalam tiga varian: Dynamic, Premium, dan Performance.

Varian Dynamic menggunakan motor tunggal di bahagian belakang dengan kuasa 136 PS dan tork 310 Nm, dipadankan dengan bateri 61.44 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 460 km mengikut piawaian WLTP. Sementara itu, varian Premium dilengkapi motor belakang lebih berkuasa dengan 313 PS dan tork 360 Nm, bersama bateri 82.56 kWh yang memanjangkan jarak pemanduan hingga 570 km.

Varian tertinggi, Performance, hadir dengan sistem dwi-motor yang menjadikannya pacuan semua roda (AWD), menghasilkan 530 PS dan tork 670 Nm. Bateri yang digunakan adalah sama seperti varian Premium, namun jarak pemanduan WLTP sedikit lebih rendah iaitu 520 km.

Dari segi pengecasan, ketiga-tiga varian boleh dicas dari 30% ke 80% dalam masa 32 minit menggunakan pengecas pantas DC. Varian Dynamic menyokong pengecasan DC sehingga 110 kW dan AC pada 7 kW, membolehkan pengecasan penuh dalam kira-kira 8.6 jam. Bagi varian Premium dan Performance, pengecasan DC lebih pantas sehingga 150 kW disokong, namun pengecasan penuh AC mengambil masa lebih lama iaitu sekitar 15.2 jam kerana kapasiti bateri yang lebih besar.

Seperti dinyatakan, maklumat ini adalah berdasarkan pelancaran di Singapura. Spesifikasi untuk versi Malaysia mungkin berbeza, dan maklumat lanjut akan diumumkan lebih dekat dengan pelancaran rasmi tempatan.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *