Jualan Nintendo Switch 2 telah bermula dengan sangat memberangsangkan, apabila konsol tersebut mencipta rekod baharu dalam tempoh kurang daripada seminggu selepas dilancarkan pada 5 Jun.
Dalam masa hanya empat hari, lebih 3.5 juta unit Nintendo Switch 2 telah terjual di seluruh dunia, menjadikannya konsol Nintendo yang paling pantas terjual dalam sejarah. Pelancaran terbesar Nintendo setakat ini juga mengatasi kejayaan terdahulu seperti Wii dan Nintendo DS.
Untuk memberi gambaran, Nintendo Switch asal terjual sebanyak 2.74 juta unit dalam bulan pelancarannya. Penganalisis industri meramalkan bahawa Nintendo Switch 2 berpotensi mencapai jualan sebanyak 100 juta unit menjelang akhir tahun 2029.

Menurut Mat Piscatella, pengarah eksekutif permainan video di firma penyelidikan pasaran Circana, jumlah jualan konsol dalam minggu pertama banyak bergantung pada jumlah stok yang tersedia.
Nintendo telah lama membuat persiapan untuk pelancaran Switch 2 dan memastikan jumlah unit yang tersedia jauh melebihi apa yang dilakukan semasa pelancaran model asal.
Namun, kejayaan sebenar konsol ini bergantung kepada kemampuannya mengekalkan momentum jualan tersebut. Firma penyelidikan pasaran DFC Intelligence turut menyatakan unjuran yang optimis terhadap prestasi jangka panjang Switch 2.
Nintendo Switch 2 kini sudah berada di pasaran, dengan harga $449.99 / £395.99. Satu pakej bundle yang turut merangkumi salinan digital permainan Mario Kart World turut ditawarkan pada harga $499.99 / £429.99.