Buat pertama kali dalam rekod, pembeli dari China tidak membuat sebarang tempahan kacang soya daripada petani Amerika Syarikat ketika musim menuai bermula bulan ini. Dikatakan keadaan konflik perdagangan yang belum selesai antara kedua-dua negara merupakan punca utama. Sebaliknya, China telah meningkatkan pembelian daripada Argentina, yang telah menurunkan cukai eksport bagi beberapa produk pertanian untuk menyokong ekonominya yang lemah, lapor Bloomberg.
China biasanya membeli lebih separuh daripada pengeluaran kacang soya AS, kebanyakannya digunakan sebagai makanan ternakan babi dan minyak masak. Namun selepas Beijing mengenakan tarif balas terhadap import dari AS awal tahun ini, kekacang dari Amerika menjadi tidak lagi menarik di mata pembeli China.

Walaupun penanam soya AS meningkatkan jualan ke beberapa negara lain di Eropah dan Asia, jumlah pesanan setakat 18 September tahun ini menurun 37% berbanding tahun lalu, menurut firma data komoditi Argus Media. Petani bimbang mereka akan berdepan kesukaran menyimpan lebihan hasil berikutan lambakan kacang soya yang menyebabkan harga jatuh lebih 3% sepanjang bulan lalu.
Para penanam terus menggesa pentadbiran Trump agar mencapai perjanjian dengan China. Presiden Persatuan Kacang Soya Amerika, Caleb Ragland, turut meluahkan rasa kecewa terhadap pengumuman talian kredit USD20 bilion oleh Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent untuk membantu Argentina yang kini mengambil alih tempat AS sebagai pembekal utama kacang soya kepada China.
Pakar menjangkakan produk pertanian akan menjadi antara isu utama dalam rundingan bersemuka antara Presiden Trump dan Presiden China Xi Jinping bulan depan. Pentadbiran Trump juga bercadang menggunakan hasil kutipan tarif untuk membantu petani. Namun, bahagian pasaran AS dalam sektor kacang soya China masih belum pulih selepas perang perdagangan pada 2018 turut memberi kesan besar kepada tanaman tersebut, kata pengarah pembangunan pasaran Persatuan Kacang Soya Illinois kepada Fortune.
