Rusia telah menerima watikah pelantikan duta baharu Afghanistan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membina hubungan mesra dengan pihak berkuasa Taliban. Taliban berjaya merampas kuasa selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu empat tahun lalu.
“Kami percaya bahawa tindakan pengiktirafan rasmi terhadap kerajaan Imarah Islam Afghanistan akan mendorong perkembangan kerjasama dua hala yang produktif antara negara kami dalam pelbagai bidang,” menurut kenyataan Kementerian Luar Rusia pada Khamis.
Langkah ini menjadikan Rusia sebagai negara pertama di dunia yang mengiktiraf kerajaan Taliban di Afghanistan.
“Mesej berani ini akan menjadi contoh kepada negara lain,” kata Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi dalam satu video pertemuannya bersama Duta Rusia ke Kabul, Dmitry Zhirnov, yang dimuat naik di platform X.
“Sekarang proses pengiktirafan telah bermula, dan Rusia mendahului semua negara lain,” tambahnya.
Langkah ini dijangka mendapat perhatian serius daripada Washington, yang masih membekukan berbilion dolar aset bank pusat Afghanistan dan mengenakan sekatan terhadap beberapa pemimpin kanan Taliban. Tindakan itu menyebabkan sektor perbankan negara itu terputus daripada sistem kewangan antarabangsa.

Moscow, yang menyifatkan penarikan balik tentera AS sebagai satu “kegagalan”, telah mengambil pendekatan untuk menormalkan hubungan dengan pihak Taliban, melihat kumpulan itu sebagai rakan ekonomi yang berpotensi serta sekutu dalam memerangi keganasan.
Delegasi Taliban telah menghadiri forum ekonomi utama Rusia di Saint Petersburg pada tahun 2022 dan 2024. Menteri luar Taliban juga bertemu Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov di Moscow pada Oktober tahun lalu.
Pada Julai 2024, Presiden Rusia, Vladimir Putin, menyifatkan Taliban sebagai “sekutu dalam memerangi keganasan”, khususnya terhadap kumpulan Islamic State Khorasan Province (ISKP atau ISIS-K) yang bertanggungjawab atas serangan berdarah di Afghanistan dan Rusia.
Pada April lalu, Mahkamah Agung Rusia menarik balik penyenaraian Taliban sebagai kumpulan pengganas. Lavrov turut menyatakan bahawa “pihak berkuasa baharu di Kabul adalah satu realiti” dan menggesa dasar luar yang pragmatik serta tidak berasaskan ideologi terhadap Taliban.