Malaysia dan China bakal bekerjasama bangun projek pemprosesan nadir bumi

Rio Boestamam
2 Min Read

China dan Malaysia kini berada pada peringkat awal rundingan bagi membangunkan projek pemprosesan nadir bumi, dengan Khazanah Nasional Bhd dijangka bekerjasama dengan sebuah syarikat milik kerajaan China untuk membina sebuah loji penapisan di Malaysia, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Jika usaha sama ini menjadi kenyataan, ia akan menandakan perubahan dasar besar bagi China. Negara itu menjadi pembekal dan penapis nadir bumi terbesar dunia yang sebelum ini melarang eksport teknologinya bagi mengekalkan dominasi industri tersebut.

Beijing bersedia menukar teknologinya dengan akses kepada simpanan nadir bumi Malaysia yang masih belum diterokai, sebagai strategi mengekang persaingan daripada syarikat Australia, Lynas Rare Earths, yang memiliki loji pemprosesan di Pahang, kata dua sumber di Malaysia.

Khazanah Nasional sedia bekerjasama untuk bangunkan projek pemprosesan nadir bumi.

Kesemua empat sumber yang bercakap kepada Reuters enggan dikenali kerana sensitiviti isu ini. Khazanah Nasional serta kementerian sumber asli dan perdagangan Malaysia tidak memberi maklum balas segera, manakala Pejabat Maklumat Majlis Negeri China juga tidak memberi komen kerana cuti Hari Kebangsaan.

Menurut sumber Malaysia, rancangan itu berdepan beberapa cabaran, termasuk kebimbangan China mengenai kemampuan Malaysia membekalkan bahan mentah yang mencukupi untuk loji tersebut. Dua sumber lain menambah, Malaysia turut bimbang terhadap kesan alam sekitar dan halangan peraturan, memandangkan aktiviti perlombongan memerlukan kelulusan di peringkat negeri dan persekutuan.

Kerajaan Malaysia sebelum ini menegaskan ia tidak menyokong perlombongan nadir bumi di kawasan sensitif seperti hutan simpan kekal dan kawasan tadahan air.

Ketika ini, pengeluar global sedang giat mencari bekalan alternatif selepas sekatan eksport China tahun ini menyebabkan kelewatan pengeluaran bagi pengeluar kereta dan pengeluar magnet utama. Malaysia dianggarkan memiliki sekitar 16.1 juta tan metrik simpanan nadir bumi, namun kekurangan teknologi untuk melombong dan memprosesnya. Negara ini turut melarang eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan kehilangan sumber, kecuali satu projek perintis pada 2022 yang bertujuan menetapkan garis panduan operasi dan pelesenan.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *