Sindiket pemerdagangan manusia kini menggunakan teknologi AI

Boboi CTC
3 Min Read

Pusat penipuan dalam talian yang melibatkan pemerdagangan manusia kini menjadi ancaman global dalam era digital, menurut laporan terbaru Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol).

Dalam laporan bertarikh Mac 2025, Interpol mendedahkan bahawa sindiket ini telah berkembang pesat dari Asia Tenggara ke kawasan baharu seperti Afrika Barat, Timur Tengah, Amerika Tengah, dan serata dunia.

Mangsa dari sekurang-kurangnya 66 negara telah diperangkap menjadi buruh paksa di pusat penipuan dalam talian. Sebanyak 74% mangsa dihantar ke ‘hab’ tradisional di Asia Tenggara, manakala pusat-pusat baharu turut muncul di lokasi lain seperti Afrika Barat yang berpotensi menjadi kawasan panas jenayah ini seterusnya.

Kebanyakan mangsa diperdaya melalui iklan kerja palsu, kemudian dikurung dan dipaksa menjalankan penipuan dalam talian seperti skim pelaburan, pemindahan wang, penipuan cinta dan perjudian atas talian. Mereka yang enggan bekerjasama diancam, malah ada yang didera atau diseksa.

Walaupun tidak semua pekerja di pusat ini adalah mangsa pemerdagangan manusia, mereka yang dipaksa melakukan jenayah sering diugut dengan hutang, dipaksa bekerja tanpa henti dan mengalami tekanan mental yang serius.

Peningkatan kes pemerdagangan manusia di kawasan Asia Tenggara memaksa Interpol untuk mengambil tindakan.

Interpol turut memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) kini digunakan oleh penjenayah untuk mencipta iklan kerja palsu yang kelihatan sah. Mereka juga akan menyertakan profil dan imej palsu menggunakan teknologi deepfake untuk menipu mangsa. Ini termasuk dalam kes penipuan cinta dan pemerasan seksual digital (sextortion).

Sindiket ini juga menggunakan laluan pemerdagangan yang sama untuk menyeludup dadah, senjata dan haiwan terancam seperti harimau dan tenggiling. Ini menjadikan pusat penipuan bukan lagi sekadar sarang jenayah siber, tetapi kini menjadi pusat pelbagai jenayah rentas sempadan.

Data Interpol turut mendedahkan profil individu yang melakukan jenayah ini di mana lebih 80% daripadanya adalah lelaki, dan 61% berusia antara 20 hingga 39 tahun. 90% berketurunan Asia, manakala 11% berasal dari Afrika atau Amerika Selatan. Ini sedikit sebanyak mencerminkan jaringan jenayah global yang kompleks.

Pengarah sementara perkhidmatan polis Interpol, Cyril Gout, menegaskan bahawa menangani ancaman ini memerlukan kerjasama antarabangsa yang tulen. Ini termasuk perkongsian maklumat risikan antara negara, kerjasama dengan NGO yang membantu mangsa, serta syarikat teknologi yang platform mereka sering disalah guna.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *