Kedah mencatatkan skor terendah di Malaysia dalam Indeks Perpaduan Nasional 2025

Boboi CTC
2 Min Read

Negeri Kedah mencatatkan skor terendah antara semua negeri di Malaysia dalam Indeks Perpaduan Nasional 2025 yang dikeluarkan oleh Kementerian Perpaduan Negara. Menurut laporan Harian Metro, lima negeri bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan skor di bawah purata nasional iaitu 0.701, dengan Kedah mencatatkan skor paling rendah sebanyak 0.593.

Ia diikuti Perak dengan skor 0.648, Kelantan (0.654), Kuala Lumpur (0.659), Selangor (0.675), Pulau Pinang (0.692) dan Putrajaya (0.693). Johor mencatatkan skor setara dengan purata nasional, manakala tujuh negeri lain serta Labuan merekodkan pencapaian melebihi purata tersebut.

Pahang mencatatkan skor tertinggi Indeks Perpaduan Nasional iaitu 0.817, diikuti Melaka (0.816), Sarawak (0.791), Terengganu (0.745), Negeri Sembilan (0.731), Sabah (0.722), Perlis (0.720) dan Labuan (0.719). Indeks tersebut dikira berdasarkan kajian melibatkan 9,448 responden berumur 18 tahun ke atas yang terdiri daripada Melayu (60.3%), Cina (19.1%), India (6%), Bumiputera Sabah (8.8%), Bumiputera Sarawak (4.4%) serta lain-lain kaum (1.4%).

Sebahagian besar responden adalah dari kawasan bandar iaitu sebanyak 76.7%, dengan 55.1% daripadanya lelaki manakala 44.9% wanita.

Kajian itu turut meneliti faktor defisit sosial atau isu yang menyumbang kepada perpecahan masyarakat, dengan faktor kaum dikenal pasti oleh 60.3% responden sebagai punca utama, diikuti politik dan federalisme (56.9%), agama (56.7%) serta kelas sosial (47.5%).

Selain itu, lima faktor turut diambil kira dalam menilai persepsi responden, iaitu pendidikan, bahasa, jurang generasi, jantina serta perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. Kajian berkenaan juga mendapati media sosial semakin mempengaruhi emosi serta persepsi masyarakat terhadap isu perpaduan.

Kementerian memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, dapatan Indeks Perpaduan Nasional 2025 menunjukkan Malaysia berada di landasan yang betul dari segi perpaduan, dengan majoriti rakyat hidup dalam keadaan aman sambil menghormati kepelbagaian masyarakat majmuk negara.

Namun begitu, usaha berterusan masih diperlukan bagi memperkukuh hubungan antara kaum serta membina identiti nasional yang lebih inklusif demi menjamin keharmonian jangka panjang.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *