Loob Bhd Batal IPO Tealive: Fokus Kukuhkan FMCG

Aina Julia
3 Min Read

Loob Bhd telah mengumumkan pembatalan rasmi rancangan penyenaraian awam (IPO) mereka di Pasaran Utama Bursa Malaysia. CEO Loob Holding, Bryan Loo, menyatakan bahawa keputusan ini dibuat selepas kajian menyeluruh terhadap objektif nilai jangka panjang syarikat. Fokus kini dialihkan kepada pengukuhan sektor barangan pengguna cepat laris (FMCG) dan pembangunan operasi huluan yang dijangka mengambil masa sekitar 18 bulan.

Syarikat telah mengarahkan penasihat kewangan, termasuk Maybank Investment Bank, untuk menghentikan proses IPO yang difailkan pada Jun 2025. Sebarang usaha penyenaraian pada masa hadapan akan memerlukan permohonan baharu sepenuhnya. Sebelum ini, IPO tersebut dijangka melibatkan terbitan 58.46 juta saham baharu dan tawaran jualan 292.3 juta saham sedia ada kepada pelabur.

Rancangan untuk “go public” ini sebenarnya telah bermula sejak 2018 namun sering tertangguh akibat sentimen pasaran yang lemah dan pandemik Covid-19. Firma ekuiti swasta Creador, yang memiliki 30% pegangan dalam Loob sejak 2021, sebelum ini dilihat sebagai pemangkin kepada jangkaan IPO ini sebagai strategi keluar (exit strategy) pelaburan mereka. Walau bagaimanapun, keluarga pengasas Loo kekal sebagai pemilik majoriti dengan pegangan 59.1%.

Kemunculan pesaing dalam pasaran yang sama seperti ZUS Coffee merupakan penyumbang utama kepada penurunan catatan keuntungan Tealive dan Baskbear Coffee.

Prestasi kewangan Loob bagi tahun kewangan berakhir Jun 2025 menunjukkan penurunan buat kali pertama dalam tempoh lima tahun. Pendapatan syarikat menyusut kepada RM489.99 juta berbanding RM591.24 juta pada tahun sebelumnya. Keuntungan bersih pula merosot lebih 58% kepada RM21.46 juta, yang dikaitkan dengan peningkatan kos operasi dan persaingan sengit daripada jenama minuman dari China.

Margin keuntungan syarikat turut terkesan, merosot daripada 18% pada 2021 kepada hanya 4.4% pada 2025. Walaupun mencatatkan penurunan keuntungan, Loob tetap membayar dividen yang tinggi berjumlah RM60.56 milon bagi tahun kewangan 2025, iaitu 2.8 kali ganda lebih tinggi daripada keuntungan bersih tahunan mereka.

Langkah membatalkan IPO ini memberi ruang kepada Loob untuk menstruktur semula perniagaan di tengah-tengah cabaran pasaran minuman yang semakin tepu. Dengan lebih 900 cawangan Tealive dan 120 kedai Bask Bear, syarikat kini memilih untuk memperkukuh asas perniagaan dan vertikal baharu sebelum kembali ke pasaran modal apabila keadaan ekonomi dan prestasi dalaman lebih stabil.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *