ADUN Melaka pertahan kilang, Jalur Gemilang diterbalik secara tidak sengaja.

Muq
By Muq
2 Min Read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, hari ini mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mempertahankan sebuah kilang Texas Instruments di Melaka yang dituduh mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Dalam hantaran di Facebook, Noor Helmy menjelaskan bahawa bendera yang dipasang dengan betul juga boleh terbalik akibat faktor semula jadi.

“Saya sudah tengok rakaman CCTV di Texas Instruments Melaka. Bendera itu terlucut, tersangkut, dan akhirnya terbalik.
Nasib baik ada CCTV, walaupun agak susah juga nak semak,” katanya dalam hantaran tersebut.

Menurutnya, selepas insiden itu tular, pekerja yang bertanggungjawab menggantung bendera berasa tertekan akibat kecaman orang ramai. Beliau turut menasihatkan orang awam supaya menunggu kenyataan rasmi daripada pihak kilang dan tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham.

Minggu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak bertindak secara vigilante dalam kes melibatkan pengibaran Jalur Gemilang yang tidak betul, susulan protes Pemuda UMNO di Kepala Batas, Pulau Pinang berhubung isu sama.

AGC menegaskan tindakan seperti menyebarkan maklumat peribadi tidak berasas di media sosial adalah perbuatan menyalahi undang-undang.

AGC turut menekankan bahawa orang awam tidak boleh mengambil alih peranan pihak berkuasa, seperti mengarahkan penurunan bendera atau merampas bahan tanpa kuasa undang-undang. Segala aduan perlu disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

Namun begitu, AGC menjelaskan bahawa sebarang kesalahan melibatkan pemasangan atau pengibaran Jalur Gemilang secara tidak wajar, yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam, masih boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *