Cubaan seludup masuk 1,964 tan besi buruk digagalkan di Pelabuhan Klang

Rio Boestamam
2 Min Read

Jabatan Kastam Selangor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 1,964 tan besi buruk bernilai RM9.17 juta selepas merampas 83 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) baru-baru ini. Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata rampasan itu hasil beberapa siri pemeriksaan bersama Pusat Penyasaran Nasional (NTC) yang dijalankan sepanjang tempoh dua bulan bermula Mei lalu.

Siasatan awal mendapati logam tersebut diimport tanpa permit dari beberapa negara di benua Amerika, Eropah dan Asia, dan dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan dalam negara.

“Pemeriksaan mendapati barang-barang tersebut diisytiharkan sebagai aloi aluminium, bahan aluminium, aluminium mentah, komponen komputer dan logam berharga dalam Manifest dan Borang Kastam 1.

“Import besi buruk tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh SIRIM di bawah Butiran 5, Bahagian 1, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam, Pulau Indah, Selasa (22 Julai).

Rampasan itu hasil beberapa siri pemeriksaan bersama Pusat Penyasaran Nasional (NTC).

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Azhar memaklumkan pihaknya turut merampas 221.7 tan gegelung keluli bernilai RM1.29 juta selepas menahan lapan kontena sepanjang 20 kaki di PKFZ.

Kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 4 Jun dengan barangan yang diisytihar sebagai perabot dan tilam dalam Borang Kastam 1.

“Hasil pemeriksaan mendapati kargo itu adalah Gegelung Keluli Pra-Warna Gred Utama (Prime Pre-Painted Steel Coils) yang dipercayai diimport tanpa permit untuk kegunaan industri dalam negara dan tertakluk kepada duti antidumping sebanyak 52.1 peratus mengikut Perintah Kastam (Duti Anti-Lambakan) (Kajian Pentadbiran) (No. 2) 2021.

“Sebanyak 62 gegelung telah dirampas dengan nilai dianggarkan RM769,434, manakala jumlah duti dan cukai pula bernilai RM516,290. Kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau, pihak Kastam Selangor turut menggagalkan beberapa cubaan penyeludupan lain melibatkan pelbagai jenis barang bernilai RM4.37 juta termasuk duti dan cukai, hasil rampasan di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Utara dari Mei hingga awal Julai.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *