Bitcoin mencatat rekod baharu pada Ahad, kali pertama sejak pertengahan Ogos, apabila penutupan kerajaan Amerika Syarikat mendorong pelabur beralih kepada aset lindung nilai dalam apa yang digelar sebagai “perdagangan penyusutan nilai” (debasement trade).
Aset digital terbesar dunia itu melonjak kepada AS$125,689 (RM529,262) pada hujung minggu lalu dan terus hampir mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada pagi Isnin di Singapura, sekitar AS$123,700, menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg.
Kenaikan ini berlaku dalam keadaan penutupan kerajaan AS, yang meningkatkan permintaan terhadap aset yang dianggap lebih selamat. Penutupan itu juga menyebabkan Biro Statistik Buruh tidak menerbitkan data pekerjaan bukan ladang pada Jumaat lalu. Sementara itu, emas meningkat melepasi AS$3,900 pada Isnin (satu lagi rekod baharu) meneruskan lonjakan berbulan-bulan, manakala bitcoin mengetuai kenaikan dalam pasaran kripto.

Menurut penganalisis BTC Markets, Rachael Lucas, pedagang kini menjangkakan rintangan pada paras AS$135,000, dengan AS$150,000 “dalam jangkauan jika momentum kekal”. Namun beliau memberi amaran bahawa jika berlaku pembalikan mendadak, leverage yang tinggi boleh mencetuskan turun naik harga yang ketara.
Pasaran opsyen juga menunjukkan sentimen optimistik, dengan lebih 60% daripada minat terbuka berada pada opsyen panggilan (call options), satu petanda keyakinan kukuh, tetapi juga meningkatkan risiko “penjualan berantai” (liquidation cascade) jika momentum pasaran terhenti, tambah Lucas.
Sementara itu, Ether, aset digital kedua terbesar, berada pada paras AS$4,501 setakat 9:18 pagi di Singapura pada Isnin, manakala XRP kekal stabil sedikit di bawah AS$3.
