Kebimbangan meningkat di Cyprus susulan gelombang penghijrahan peneroka Israel ke negara pulau itu, di mana mereka membeli hartanah dan menetap di kawasan strategik.
Dalam kongres terbaharu parti AKEL (parti kedua terbesar di Cyprus), Setiausaha Agung Stefanos Stefanou menyuarakan kebimbangan bahawa pembelian tanah oleh warga Israel berhampiran infrastruktur penting dan kawasan sensitif merupakan ancaman besar terhadap keselamatan negara.
Beliau turut memberi amaran bahawa “ghetto” sedang terbentuk di Cyprus berikutan penjualan hartanah kepada peneroka Israel, dengan merujuk kepada kewujudan “sekolah Zionis dan sinagog” sebagai sebahagian daripada strategi peluasan pengaruh.
“Mereka sedang merampas negara ini daripada kita,” katanya, sambil menyamakan kemasukan pembeli Israel itu dengan corak penjajahan yang berlaku di wilayah Palestin yang diduduki.
Stefanou menyifatkan pembelian hartanah tersebut sebagai sebahagian daripada “rancangan besar” yang boleh membawa kepada penubuhan penempatan, institusi keagamaan, serta kawalan ekonomi oleh Israel.
Beliau turut mengkritik kerajaan Cyprus kerana gagal menangani isu tersebut dan menggesa supaya kawalan lebih ketat dikenakan terhadap urusan jual beli hartanah oleh warga asing. Penganalisis tempatan juga memberi amaran bahawa pembelian berterusan oleh warga Israel boleh mengancam kedaulatan Cyprus dalam jangka masa panjang serta memberi kesan negatif kepada ekonomi.

Kemasukan warga Israel ke Cyprus dilaporkan meningkat dengan ketara selepas tercetusnya perang di Gaza, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.
Namun, Duta Israel ke Cyprus, Oren Anolik, mengecam wacana awam di Cyprus yang menurutnya semakin dipengaruhi oleh “retorik antisemitik”. Sebagai respon, Stefanou mempertahankan pendirian partinya, sambil menegaskan bahawa mengkritik dasar Israel tidak bermakna seseorang itu bersifat antisemitik.
“Israel tidak boleh menerima sebarang kritikan dan mahu mengawal segalanya,” kata Stefanou, sambil merujuk kepada tindakan rejim tersebut yang turut menuduh Setiausaha Agung PBB sebagai antisemitik kerana mengkritik perang pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza.
Anggaran rasmi menyatakan sekitar 2,500 warga Israel tinggal secara tetap di Cyprus, namun pakar percaya jumlah sebenar mungkin mencecah antara 12,000 hingga 15,000 kerana ramai yang masuk menggunakan pasport Eropah.
