Filipina mahu failkan kes sabotaj ekonomi terhadap AirAsia kerana harga tiket

Rio Boestamam
3 Min Read

Dalam sidang media pada Isnin (2 Jun), Setiausaha Pengangkutan Vince Dizon menyatakan bahawa pihaknya sedang memuktamadkan aduan terhadap AirAsia MOVE dan menyasarkan untuk memfailkan kes tersebut dalam minggu ini.

Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Filipina (DOTr) telah mengeluarkan arahan berhenti serta-merta (cease and desist order) terhadap syarikat beribu pejabat di Malaysia itu pada 26 Mei.

Kes ini tercetus selepas aduan dibuat oleh Ahli Parlimen Leyte bagi Daerah Ke-4, Richard Gomez, dan Datuk Bandar Ormoc, Lucy Torres-Gomez, yang membeli tiket penerbangan Philippine Airlines (PAL) dari Tacloban ke Manila menerusi AirAsia MOVE dengan harga keseluruhan sekitar PHP77,704 (sekitar USD1,392) iaitu hampir PHP40,000 seorang.

Menurut Dizon, jika tiket dibeli terus melalui laman web PAL, kos sebenar hanya sekitar PHP49,507 sahaja.

“Saya telah arahkan Pasukan Anti-Siber PNP untuk menutup laman web ini hari ini supaya AirAsia MOVE tidak lagi menipu orang ramai. Saya yakin Richard Gomez bukan satu-satunya mangsa,” kata Dizon semasa sidang media.

Beliau juga memaklumkan bahawa Lembaga Aeronautik Awam (CAB) dan bahagian penerbangan DOTr telah diarahkan untuk segera memfailkan kes jenayah sabotaj ekonomi terhadap AirAsia MOVE.

Air Asia Move merupakan platform rasmi milik Air Asia untuk pengguna membeli tiket penerbangan.

Dizon menegaskan bahawa harga tiket sehala yang dijual oleh AirAsia MOVE adalah tiga kali lebih tinggi berbanding harga biasa yang dijual oleh syarikat penerbangan lain iaitu sekitar PHP12,000.

Selain Gomez, Dizon turut menerima aduan serupa daripada Pengarah Eksekutif Pejabat Pertahanan Awam, Timbalan Menteri Ariel Nepomuceno, yang juga membangkitkan isu harga tiket ke Tacloban yang melampau.

Beliau mengesyaki kenaikan harga ini mungkin berpunca daripada gangguan pergerakan akibat had muatan di Jambatan San Juanico yang berusia 53 tahun, yang dihadkan kepada hanya tiga tan mulai 15 Mei lalu, sekali gus melarang bas dan lori melintasinya.

“Jelas ada krisis kerana pergerakan barangan dan orang ramai terjejas dengan penutupan separa jambatan ini kepada kenderaan berat. Mereka mengambil kesempatan daripada situasi ini,” ujar Dizon.

Ketua DOTr itu juga mengarahkan CAB menyiasat platform dalam talian lain yang mungkin mengenakan caj berlebihan, bukan sahaja untuk laluan ke Tacloban, tetapi juga ke destinasi lain.

Apabila ditanya sama ada AirAsia telah dihubungi berhubung isu ini, Dizon menjelaskan bahawa syarikat penerbangan multinasional itu “tidak terlibat secara langsung” dengan platform tersebut, dan hanya “mempunyai hubungan” dengannya.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *